Monday, 23 September 2013

Ilmu: pencarian yang tidak berkesudahan.

Teks : Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

"Kewajipan menguasai ilmu tidak ada batas usia. Dengan ilmu, kita akan memperbaiki hati dan fikiran. Ilmu mampu meningkatkan kualiti hidup dan pekerjaan. Ilmu juga menjemput izzah dan kemuliaan". Dr Ridzwan Bakar.

Orang sering bertanya saya kenapa masih nak sambung belajar sedangkan kerjaya dah stabil, tidakkah susah untuk membahagi masa di antara keluarga, kerjaya dan pelajaran. Pada mulanya agak susah untuk memberikan jawapan yang memuaskan semua orang. Namun pendekatan jawapan mungkin berbeza mengikut siapa yang bertanya. Mungkin begitu juga sahabat lain yang berada di landasan yang sama.
Secara umumnya alasan dan sebab mungkin pelbagai. Bagi seorang pensyarah universiti ianya adalah satu kemestian.  Namun bagi penjawat awam ianya satu pilihan. Secara peribadi bagi saya alasan menyambung pelajaran bermula dengan beberapa sebab seperti peluang dan impian.
1. Peluang
Dalam hidup ini tidak kesemua orang mendapat peluang sebagaimana yang kita peroleh. Justeru peluang yang ada perlu diambil agar ianya tidak terlepas begitu sahaja. Bagi seorang penjawat awam peluang belajar sentiasa terbuka luas. Tinggal lagi nak atau tak nak. Dalam masa sama peluang tersebut juga perlu  direbut jika tidak ia akan terlepas ke tangan orang lain. Kadang2 peluang datang hanya sekali dan ada kalanya ianya datang berkali2. Bagi saya apabila dirasakan sesuai saya terus mengambil peluang tersebut dan menganggap ia adalah rezeki daripada Allah.
2. Impian
Impian sejak kecil adalah untuk menamatkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Impian itu sudah tertanam dijiwa sejak dulu. Benarlah kata orang, impian tanpa ada usaha hanya menjadi angan-angan. Adanya peluang memungkinkan saya mencapai impian tersebut. Usaha perlu selari dengan peluang yang ada.
3. Contoh kepada anak-anak
Jauh di sudut hati saya mengharapkan semangat untuk belajar di usia dewasa menjadi perangsang kepada anak-anak.Contoh terbaik mendidik anak-anak adalah bermula dengan ibu bapa sendiri. Anak-anak akan lebih terpengaruh dengan apa yang ditunjukkan berbanding apa yang diperkatakan.
Namun sekiranya seorang wanita berkerjaya dan berkeluarga berhasrat untuk menyambung pelajaran terutama untuk ijazah tertinggi beberapa perkara penting harus diambil dari kira.
Antara yang perlu adalah perbincangan dengan suami dan ahli keluarga lain.
Ini amat perlu. Perbincangan mungkin berkenaan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada masa hadapan. Ada masanya rutin biasa perlu diubah secara tiba-tiba. Ini memerlukan toleransi dan timbang rasa orang terdekat.
Selain itu kemampuan kewangan,kemampuan mengurus masa dan kemampuan mengawal emosi amat penting sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Tidak dinafikan hubungan yang dekat dengan Allah akan mempengaruhi corak perjalanan kehidupan kita.
Banyakkan berdoa dan istikharah. Insya Allah Dia akan menunjukkan jalan yang sebenarnya buat kita.
Semoga ada manfaatnya.

Raikan kejayaan kecil.

Teks : Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim dan segala puji bagi Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

Kejayaan tidak akan datang bergolek. Ia perlu usaha dan komitmen yang berterusan. Kejayaan yang besar pastinya bermula daripada kejayaan yang kecil. Kolektif kejayaan yang kecil inilah yang berjaya menghasilkan kejayaan yang besar.
Kita sering terlupa untuk menghargai kejayaan kecil oleh kerana terlalu memikirkan kejayaan yang besar. Kita juga terlupa akan kejayaan kecil dek kerana terlalu fokus dengan kejayaan yang lebih besar.
Dulu saya pun begitu, namun pembacaan berjaya mengubah persepsi saya sedikit demi sedikit.
Apa untungnya merai kejayaan kecil dan bagaimana? Saya kongsikan di sini. Insya Allah.
Secara analogi setiap kali orang memberi pastinya kita ucapkan terima kasih. Lantas hati pemberi berbunga riang. Begitu juga setiap kejayaan kecil yang dirai  adalah seolah-olah tanda terima kasih kepada diri sendiri.Penghargaan terhadap diri mampu memotivasikan diri untuk berusaha dengan lebih baik.
Selain itu, kejayaan kecil memberi gambaran akan adanya kejayaan yang besar. Bagaimana?. Cuba kita lihat proses menjahit sehelai baju sebagai contoh. Ia bermula dengan mengukur, memotong dan seterusnya menjahit bukan? Kesemua proses tersebut memerlukan perancangan dan gerak kerja yang teliti. Jika tidak hasilnya pasti mengecewakan. Justeru setiap kejayaan dalam proses tersebut bermula dari mengukur, memotong dan mencantum adalah antara kejayaan kecil yang akhirnya membawa kepada kejayaan yang lebih besar iaitu menghasilkan sehelai baju.
Namun dalam meraikan kejayaan jangan pula kita berlebih-lebih. Cukuplah sekadar menghargai diri sendiri dengan sujud syukur. Rafa'kan kesyukuran kepada ilahi adalah satu proses meraikan kejayaan tersebut.
"Jika kita tidak menghargai diri kita, maka usahlah berangan orang lain akan menghargai kita". Dr. Ridzwan Bakar.

Semoga ada manfaatnya.

Saturday, 21 September 2013

Ibu sumber inspirasi

Teks : Jazilah mohd saad Bismillahirrahmanirrahim dan salam penuh kasih sayang.
Hari minggu adalah hari untuk bersantai bersama keluarga. Keluarga adalah keutamaan. Dalam apa jua keadaan sibuk atau lapang, keluarga tidak sama sekali diabaikan.
Keluarga adalah antara sumber inspirasi diri ini. Suami,anak-anak, ibu bapa dan adik beradik mampu menjadi sumber inspirasi asal saja kita mahu.
Berkongsi pengalaman, ibu adalah antara individu yang banyak mempengaruhi diri ini dan salah satu sumber inspirasi saya. Ingin sekali menjadi seperti ibu, penyabar dan istiqamah dalam ibadah.
Walaupun ibu bukanlah berpelajaran tinggi namun sifat positif dalam dirinya amat saya sanjung. Setiap kali keluh kesah hati diutarakan, respon beliau pastinya...insya Allah takder apa tu..mak doa sokmo dah. Hati yang gundah pasti lega mendengarnya.
Walaupun ibu  juga bukanlah seorang tinggi pengajian agamanya. namun istiqamah yang tinggi terhadap ibadah amat saya kagumi. Setiap malam beliau akan menghadap quran dan kitab jawi besarnya sebelum tidur. Seawal 4 pagi pancuran air paip pasti kedengaran menandakan beliau sudah bersedia untuk berbicara dengan pencipta.
Walaupun ibu bukanlah seorang jutawan namun acara jamuan sentiasa menjadi rutin rumah beliau. Tua muda miskin kaya pasti datang jika diundang. Dulu semasa arwah ayah masih ada orang pasti mengatakan..rumah ustaz pasti ramai yang datang. Namun kini keadaan yang sama masih berlaku. Apa yang saya nampak sesiapa yang mengenali ibu, tua muda tanpa mengira darjat dan pangkat mereka begitu menghormati ibu.
Begitulah ibu di mata anak bongsunya ini.
Sungguh...setiap ibu pastinya mempunyai kelebihan tersendiri di mata anak-anak. Bagaimana agaknya kita? Bagaimana agaknya penilaian mereka terhadap kita. Itu baru anak-anak...bagaimana pula penilaian al-khaliq.
Ya Allah bimbinglah hambamu ini agar mampu mendapat penilaian yng yang terbaik di sisi Mu.
Astaghfirullah

Thursday, 19 September 2013

Hubungan mertua menantu

Teks: Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim salam jumaat penuh barakah.

Baru selesai menonton nlko dengan penampilan prof muhaya sebagai tetamu dalam slot inspirasi pagi. Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh dr muhaya hubungan yang baik antara mertua dan menantu boleh dibina dengan hanya masing banyakkan bersyukur dan tidak saling mencari kesalahan.
Hubungan antara mertua dan menantu memang adakalanya rumit terutamanya ibu mertua dan menantu perempuan.  Jadi tak hairan lah jika ada perceraian yang berlaku berpunca daripada masalah perhubungan tersebut. 
Ibu mertua kadang kala terlalu suka untuk campur tangan urusan keluarga anak menantu dan menantu pula ego dan merasakan mereka sudah tahu semua perkara dan tidak perlu tunjuk ajar daripada orang lain lebih-lebih lagi mertua.
Saya suka melihat cara bonda melayan menantu-menantunya. Menantu lelaki akan dihormati seolah-olah ingin mengajar anak sendiri begitulah caranya melayan suami. Menantu perempuan pula tidak pernah dikongkong atau disuruh untuk berbuat itu dan ini. Malah dilayan seolah anak sendiri, tidak sesekali beliau memperlakuka seolah-olah beliau tahu terutamanya berkaitan urusan penjagaan anak-anak. Sekiranya anak menantu bertanyakan pendapat barulah diutarakan pendapat.  Katanya tidak mahu menantu perempuan terutamanya kecil hati dan dianggap serba tidak tahu.
Sekadar berkongsi.

Monday, 9 September 2013

konflik dalam perkahwinan

Teks: Jazilah Mohd Saad

Konflik dalam perkahwinan adalah suatu perkara biasa yang lazim dialami oleh mana-mana pasangan suami isteri. Secara literal konflik bermaksud "perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dan Iain-lain: (Dewan Bahasa, 2005, ms. 814)

Kenapa berlakunya konflik
Berdasarkan kajian lepas konflik sebenarnya telahpun wujud sebelum perkahwinan berlangsung dan ianya hanya berkembang sejajar dengan berlangsungnya perkahwinan.(Cummings, (1998). Biasanya ia berlaku pada setiap orang yang mempunyai hubungan rapat.
Menurut (Morris and West 2001) konflik suami isteri boleh berlaku disebabkan terdapat situasi di mana hubungan, peranan, komunikasi, pemikiran, dan sistem kepercayaan pasangan adalah tidak sejajar dengan falsafah dan konsep perkahwinan. Ianya berkait rapat dengan ketidakupayaan pasangan untuk mengurus kecerdasan kemarahan dan ‎‎berkonflik secara berkesan yang membawa kepada sesuatu yang negatif serta boleh meletakkan ‎‎perkahwinan pasangan itu pada lingkaran perpecahan.
(Määttä 2011) menyatakan ‎‎konflik dalam perkahwinan juga dikaitkan dengan corak komunikasi, personaliti; perbezaan asas dalam nilai-nilai individu, matlamat, atau jangkaan, keadaan sosial dan ekonomi. pencerobohan fizikal keatas isteri juga adalah antara beberapa faktor lain yang menyumbang kepada konflik ‎‎keluarga..

Tanda penting berlakunya konflik (Watt, Toni Terling, and Toni Terling-watt. 2008)
Terdapat beberapa tanda konflik. di antaranya

  • ketiadaan nilai kasih sayang dan sikap mesra antara suami isteri,
  • berlakunya gangguan emosi dan sistem kepercayaan,
  • wujud masalah/gangguan komunikasi, sentiasa bertentangan pendapat dan perasaan,
  •  pergaulan menjadi kurang baik,
  • bersikap negatif
  • tidur berasingan, 
  • merasa tidak tenang dan seronok untuk berada di rumah, 
  • tanggungjawab dan peranan suami isteri terabai,
  • bermasam muka dan menyendiri, serta
  • membawa haluan masing-masing.

Teori berkaitan konflik
  •  pasangan yang menghadapi masalah secara puratanya berhadapan dengan ‎‎konflik dalam kehidupan seharian mereka. manakala pasangan bukan-‎‎bermasalah hanya mengalami konflik sekali dalam seminggu .  
  • konflik perkahwinan cenderung untuk reda secara berperingkat-peringkat dalam perkahwinan.
  • penurunan perselisihan dalam perkahwinan adalah berikutan peningkatan penglibatan dalam perbincangan secara tenang oleh suami isteri, manakala pasangan yang menghadapi perbincangan yang kurang tenang menghabiskan masa mereka dengan konflik.
  • konflik dan masalah interaksi biasanya meningkat pada peringkat awal perkahwinan dan ‎‎keibubapaan dan kemudian menurun pada satu ketika selepas itu].
  • pasangan yang semakin lama berkahwin dikatakan hanya mengalami konflik dalam kuantiti yang kecil dan ‎‎lebih melibatkan diri dalam rundingan, kurang eksplisit konflik, kurang negatif, serta sering mengelak diri daripada konflik.
  • pasangan yang telah lama berkahwin juga mempunyai penghormatan diri yang lebih berbanding daripada golongan pasangan muda
  • individu yang berkahwin pada umur yang lebih muda, dengan tahap pendidikan dan pendapatan yang rendah lebih cenderung untuk bercerai disebabkan kekurangan autonomi dalam membuat keputusan berkaitan perkahwinan
  • konflik boleh muncul pada tahap yang sama dalam perkahwinan yang utuh. Namun berkemungkinan masalah tersebut tidak menyebabkan perceraian
  • kewujudan konflik tidak semestinya buruk, konflik juga membolehkan pasangan untuk menyatakan hubungan adalah penting.

Konflik adalah perkara yang biasa namun bagaimana mengurus konflik menjadi faktor penentu kejayaan atau kegagalan sesebuah perhubungan. Justeru bagaimana mengurus dan menangani konflik perlu di fahami dan di pelajari melalui pengalaman orang-orang yang berjaya dan teknik-teknik yang terbukti berkesan berdasarkan kajian-kajian yang telah dibuat. Kunci kepada kejayaan adalah ilmu. Seharusnya dalam sesebuah perkahwinan ilmu dan juga amal menjadi prinsip setiap individu. Ilmu perlu sentiasa dipelajari, difahami dan seterusnya diaplikasi dalam kehidupan seharian.


Sunday, 8 September 2013

perkahwinan



teks: jazilah mohd Saad
Semalam 8hb September adalah ulangtahun perkahwinan saya dan suami yang ke 12 tahun. Sekejap sahaja masa berlalu rupa-rupanya sudah 12 tahun kami telah bersama-sama mengharung pahit manis hidup berkeluarga. Ulang tahun perkahwinan pada kali ini tanpa apa-apa acara istimewa atau kejutan hadiah dek kesibukan dengan pelbagai urusan dunia yang tak berkesudahan. insyaAllah jika diizikanNya dengan ruang dan masa, acara istimewa pasti ada nanti. Sebenarnya hari-hari biasa adalah hari-hari yang istimewa bagi kami. Umpamanya hari ini mertua dan suami siap menyediakan nasi dagang istimewa dan saya hanya goyang kaki pagi ini kerana semuanya sudah tersedia di meja.
Mengharung tahun-tahun perkahwinan pastinya ada onak dan duri. Namun bagaimana penerimaan dan pengurusan keluarga ketika berhadapan dengan ujian itu pastinya mencorakan kehidupan kita. Secara peribadi saya percaya gabungan doa, iman tolak ansur dan persefahaman antara inti keserasian bagi setiap pasangan. Komitmen yang kuat terhadap peranan dan hak masing-masing harus seiring supaya tidak ada sesiapa yang terasa dirinya dikesampingkan. Namun bukan mudah juga untuk melayari perkahwinan tanpa ada ilmu di dada. Ilmu mengenai institusi perkahwinan dan kekeluargaan perlu sentiasa ditambah agar seiring dengan kehidupan yang penuh pancaroba.
Jika di dalam  Al-Quran, perkahwinan banyak dilihat secara khusus sebagai Mithaqan ghaliza bermaksud perjanjian yang kuat. Perjanjian yang kuat ini dinisbahkan kepada akad perkahwinan yang dilafaz dan diterima oleh kedua belah pihak yang menggambarkan persetujuan kedua-dua pasangan terhadap keputusan dan komitmen mereka untuk hidup bersama sebagai suami dan isteri atas ‎‎landasan saling redha meredhai antara satu sama lain
Upacara akad ijab qabul atau perjanjian sebenarnya merupakan asas dan simbol kepada sikap saling meredhai dalam membina hubungan suami isteri, Ia seterusnya membawa kepada beberapa hubungan dan diwujudkan oleh satu set hak dan tanggungjawab bersama.
Dalam sistem keluarga Islam, lelaki harus diletakkan berada dalam kedudukan ketua dan penyelia kepada semua ahli keluarga. Mereka harus bertanggungjawab menyediakan keperluan ekonomi dan material rumahtangga. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:.
"Lelaki yang bertanggungjawab bagi wanita, kerana Allah telah menjadikan salah seorang daripada mereka untuk cemerlang yang lain, dan kerana mereka menghabiskan kekayaan mereka (untuk menyokong mereka dan keluarga)" .59
Manakala tanggungjawab utama wanita pula terletak di dalam mengurus keperluan keluarga. Keperluan ini merangkumi keperluan suami dan anak-anak dan tidak lupa juga keperluan diri sendiri. Walaupun tanggungjawab itu hanyalah sebagai pengurus dan bukan penyedia, tidak pula menjadi kesalahan sekiranya seorang isteri sanggup membantu tugas suami sebagai penyedia. Ini kerana pembahagian tanggungjawab diantara pasangan suami dan isteri dalam melaksana tanggungjawab keluarga harus berpaksi kepada konsep adil dalam melaksanakan fungsi masing-masing. Firman Allah
"Dan mereka (wanita) mempunyai hak-hak yang sama kepada orang-orang (lelaki) ke atas mereka mengikut apa yang adil, dan orang-orang mempunyai ijazah (kelebihan) atas mereka, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Sekiranya seorang isteri sanggup membantu, apa salahnya seorang suami turut sama sanggup membantu. Apabila setiap pasangan berpegang kepada prinsip  asas  sebagaimana yang diletakkan oleh Islam pastinya hidup akan sentiasa dilimpahi rahmat oleh yang maha Esa.

Thursday, 5 September 2013

Cuti belajar vs kerja

Teks: Jazilah mohd saad
Bismillahirrahmanirrahim dan salam pagi jumaat yang penuh barakah.  Semangat ingin kembali menulis berkobar-kobar hari ni. Hari yang tenang tanpa ada sebarang temujanji samada dengan penyelia atau kenalan lain. Semua urusan bersangkut paut dengan temujanji selesai petang semalam. Alhamdulillah.
Di saat ini hanya menghitung saki baki masa yang masih tinggal sebelum memulakan kembali rutin harian yang lebih sibuk.
Alhamdulillah sepanjang hampir tiga tahun setengah Allah telah berikan saya peluang kembali merasai pengalaman bergelar pelajar pada masa saya sudah mempunyai keluarga yang besar. Ia sungguh berbeza kalau dibandingkan semasa first degree dan sarjana dahulu. Ruang dan waktu sebagai seorang pelajar adalah antara momen terindah buat saya.
Saya cuba senaraikan beberapa perkara yang saya rasakan mempengaruhi ruang kehidupan saya.
1. terasa lebih banyak masa untuk beribadah
Masa beribadat dan mendekatkan diri kepada yang maha esa dirasakan lebih banyak. Mungkin persekitaran yang banyak mempengaruhi.  Kalau di uia pergi saja ke masjid pasti ada saja kelibat anak-anak pelajar luar negara sedang menghafal alquran juga kelibat pelajar sedang membaca al quran. Sungguh ia seolah-olah satu budaya.
2.Bergaul bersama orang-orang yang berilmu
Sepanjang tempoh banyak seminar, persidangan diianjurkan. Inilah ruang dan peluang berkenalan dengan ilmuwan yang  sungguh mengkagum. Benarlah orang kata...kita adalah dengan siapa kita berkawan. Jika berkawan dengan orang yang berilmu maka ilmu akan turut bersama kita.
3. Sering diinspirasi dan di motivasi oleh guru-guru yang hebat.
Syukur saya dianugerahkan dengan 3 orang penyelia yang cukup baik dan sanggup membantu. Terus terang saya katakan saya bukanlah seorang yang bijak. Kadang-kadang terlalu sukar untuk saya fahami perkara-perkara yang kompleks. Alhamdulillah penyelia saya cukup sabar menghadapi kerenah saya. Tidak cukup dengan itu..kata-kata semangat sering menjadi titipan.
4.lebih masa bersama keluarga.
Apa yang paling saya suka adalah sepanjang tempoh cuti belajar banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga. Sekiranya saya tidak ke universiti hampir 70 peratus masa adalah bersama keluarga. Agak sukar untuk mendapatkan peluang ini kiranya dah mula kerja. Walaupun jauh di sudut hati itulah impian saya. Untuk menjadi seorang suri rumah yang masanya lebih pada keluarga.  Namun pada masa sama impian sejak kecil ini perlu juga direalisasikan.  Saya tahu Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Dia akan mendatangkan sesuatu itu pada saat dan masa yang tepat sesuai dengan kehendak Nya.
Alhamdulillah.
Wallahuaklam. Sekadar cetusan hati.
8.55 pagi.

Wednesday, 4 September 2013

Cerai luar mahkamah

Teks:Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam 

Baru sahaja selesai memberikan panduan kepada rakan kakak yang bertanyakan berkenaan isu cerai luar mahkamah yang berlaku kepada anak saudaranya.Benarlah kata orang, kerana hati badan binasa, kerana terikutkan rasa hati, si suami secara tidak sengaja telah melafazkan cerai kepada isterinya. Bagi si isteri, walaupun rasa sedih dan terkilan, tetap redha dan pasrah menerima segala suratan.

 Suatu penceraian yang berlaku di luar mahkamah akan dianggap penceraian luar mahkamah tanpa kebenaran mahkamah dan ia perlu dilaporkan dan didaftarkan dalam masa tujuh hari dari pelafazan talaq. Mana-mana pihak samada isteri atau suami boleh melaporkan pelafazan tersebut.

Berdasarkan seksyen 57 undang-undang Keluarga Islam, selepas mahkamah menerima laporan pelafazan talak, mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan samada talaq yang dilafaz tersebut sah atau tidak menurut hukum syarak. Justeru apa-apa bukti yang menunjukkan lafaz talaq telah dibuat hendaklah disertakan semasa siasatan dibuat.

Setelah mahkamah berpuas hati bahawa talaq yang dilafazkan adalah talaq yang sah menurut hukum syarak maka mahkamah hendaklah membuat perintah membenarkan perceraian berlaku, merekodkan perceraian dan menghantar salinan rekod kepada pendaftar /ketua pendaftar nikah/cerai dan rujuk.

Kebiasaannya persoalan yang sering dikemukakan adalah berpa jumlah denda bagi penceraian di luar mahkamah?. Soalan ini pasti soalan wajib datang dari pihak suami yang melafazkan cerai luar mahkamah sebagai persediaan untuk membuat bayaran denda. Pengesahan dan pendakwaan terhadap kesalahan cerai luar mahkamah adalah dua isu yang berbeza. Pendakwaan terhadap kesalahan cerai mahkamah di buat oelh bahagian Pendakwaan. Justeru perbicaraan mengenai kesalahan tersebut akan dibuat pasa hari yang berbeza. Biasanya bagi kesalahan lafaz cerai luar mahkamah, denda yang dikenakan adalah denda tidak melebihi RM1000 dan penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-dunya.

Sekada perkongsian. Semoga ada manfaatnya.

Tuesday, 3 September 2013

Muhasabah diri

Sebelum memulakan penulisan blog ini saya sering bimbang..takut sekiranya apa yang tulis ini menggambarkan ketidakcerdikan saya..kurangnya pengetahuan saya. Kenapa saya bimbang? Puas saya memikirkan kenapa dan mengapa.  Saya banyak membaca penulisan orang lain.yang memberi inspirasi kepada saya terutamanya tulisan prof kamil..dr muhaya dan ramai lagi penulis hebat di luar sana. Saya rasa seronok..saya rasa ingin menjadi seperti mereka. Yang hati mereka penuh nilai-nilai positif. Yang diri mereka sentiasa bermatlamatkan keredhaan Allah semata. lantas saya terfikir bahawa sebenarnya keseronokan inilah yang ingin dikongsi bukannya perasaan betapa hebatnya saya atau betapa banyaknya ilmu yang saya ada. Keseronokan berkongsi ilmu dan pengalaman adalah satu kemanisan dalam hidup. Saya ingin istiqamah dalam berbuat apa sahaja kebaikan. .saya ingin hati saya kekal dalam perjalanan bermatlamatkan keredhaan Allah. Doa saya agar apa sahaja yang telah, sedang dan bakal saya buat mampu mendekatkan diri ini kepada Allah.

Muhasabah diri
Jumaat. ..24hb ogos 2013 @10am.

Mutaah

Teks: Jazilah mohd saad
Entri kali ini adalah sambungan daripada entri sebelum ini berkaitan dengan hak seorang isteri selepas diceraikan.
Selepas penceraian antara tuntutan yang boleh dibuat adalah menuntut bayaran mutaah. Mutaah merupakan saguhati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan  sebagai persediaan untuk memulakan kehidupan baru selepas berakhirnya sebuah perkahwinan. Ia juga sebagai perhargaan terhadap sumbangan isteri sepanjang tempoh perkahwinan.
Jumlah bayaran adalah bergantung kepada persetujuan kedua-dua belah pihak. Namun apabila adanya pertikaian mengenai jumlah maka mahkamah syariah haruslah dirujuk bagi mendapatkan keputusan akhir.
Dalam menentukan kadar atau jumlah bayaran mutaah, mahkamah sering mengambilkira 2 faktor iaitu 1. Takat sumbangan dan 2. Tempoh perkahwinan.
Walau apapun hendaknya jumlah bayaran mutaah tersebut adalah tidak membebankan bekas suami dan adil untuk bekas isteri.