Monday, 25 November 2013

Mendidik jiwa dan hati-elak pembaziran

Teks:Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum dan salam hujung minggu.

Alhamdulillah hari ini berkesempatan mengikuti program berkhatan yang dianjurkan pejabat suami. Seronok melihat anak-anak dengan pelbagai ragam dan kerenah. Namun dalam keseronokan meraikan anak - anak ada sedikit rasa terkilan dengan kerenah segelintir ibu bapa yang turut sama merai anak- anak ini.
Sungguh rasa terkilan tak dapat dibendung. Pihak penganjur sememangnya pemurah menyediakan makan minum untuk semua yang hadir. Malangnya sikap sesetengah ibu bapa yang begitu "tamak" semasa mengambil makanan sungguh memalukan. Kalau lah makanan tersebut mampu dihabiskan tidak mengapa. Malangnya ia tidak dihabiskan malah dibuang begitu sahaja. Orang lain yang tidak sempat merasa terkulat-kulat melihat makanan yang sepatutnya dimakan tetapi terpaksa dibuang ke tong sampah.
Macam mana agaknya kita hendak mendidik anak - anak kita jika ibu bapa berkelakuan sebegitu. Sepatutnya ibu bapa menjadi teladan buat anak - anak.
Dalam Islam pembaziran adalah satu amalan yang dilarang. Perbuatan membazir diumpamakan sebagai amalan syaitan justeru pelaku sifat tersebut adalah sahabat kepada syaitan.

Sekadar cetusan hati.

Bicara soal kerja

Teks: Jazilah Mohd Saa

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi allha yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah masih diberi nafas dan kesempatan menghirup udara segar, menjalani rutin harian sebagai seorang hamba di bumiNya. Siapalah kita tanpa Dia. Dia penentu segalanya. Mungkin hari ini, mungkin besok, mungkin lusa dan mungkinpada bila-bila masa kita akan dipanggil mengadapNya. Maka berusahalah sebaik mungkin menjalani kehidupan yang diberikan dengan penuh amanah dan tanggungjawab sebagai tanda pengabdian kepadaNya.
Setiap apa yang dilakukan perlu berpaksikan kepadaNya. Segala yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keredhaannya. Sungguh mudah, sungguh senang sekali, namun pelaksanaannya mungkin tidak begitu. Betapa ramai daripada kita membuat sesuatu bukan matlamat akhirnya mendapatkan keredhaan Allah. bahkan sekadar mendapatkan nama, menyelesaikan tanggungjawab.

Moga kita tergolong di kalangan hambaNya yang ikhlas  keranaNya.

Sunday, 17 November 2013

Kem tahfiz

Teks : Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah
Minggu pertama cuti persekolahan telah bermula. Hari pertama tanpa anak sulung yang kini mengikuti program tahfiz cuti sekolah. Pertama kali berpisah dengan anak, hati sedikit rasa bimbang,  risau anak tak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan. Namun ustaz sering whatsapp gambar-gambar. Ini sedikit sebanyak menghilangkan resah di hati. Menghilangkan kerinduan pada anak yang diserahkan pada pihak sekolah selama sebulan tanpa sesi lawatan.
Ada yang bertanya perlukah anak seusia 7 ke 10tahun mengikuti kem sebegini.  Tak kesian kah pada mereka mengurus diri sendiri?. Ya betul pada awalnya itulah perasaan kami. Namun akhirnya kami yakin dan pasti bukan mudah untuk berjaya. Anak-anak yang akan berjaya perlu diasuh dan dididik dengan semangat yang tinggi berusaha mencari ilmu dalam apa jua keadaan.  Apatah lagi ilmu tersebut bakal memberi bekalan  akhirat kepada anak-anak dan ibu bapa mereka.
Kami berdoa semoga Allah memberkati apa jua yang kami lakukan untuk anak-anak.

Coretan hati pengubat rindu.

Thursday, 14 November 2013

Ilmu sepanjang hayat

Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam jumaat penuh barakah.

Syukur dan puji dipanjatkan kehadrat Ilahi atas segala limpah kurnianya. Marilah kita perbanyakkan salawat dan istighfar di hari yang mulia ini. Mudah-mudahan segala apa yang kita kerjakan mendapat ganjaran pahala daripadanya.
Alhamdulillah selesai mendengar tazkirah mingguan jabatan. Topik yang diperbincangkan adalah mengenai ilmu. Satu hadis yang dijadikan asas perbincangan iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Tabrani bermaksud:
Dari 
Rasulullah Saw bersabda: 
"Jadilah kamu seorang yang alim, atau orang yang belajar ilmu agama, atau orang yang gemar mendengar pengajian agama dengan teliti, atau menjadi orang yang mencintai ilmu dan ahli ilmu. Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, yang mana kamu akan binasa. Kelima ialah kamu membenci ilmu dan ahli ilmu". 

5 golongan manusia apabila dikaitkan dengan ilmu
  1. orang yang alim atau berilmu
  2. orang yang belajar ilmu agama
  3. orang yang mendengar ilmu agama dengan teliti
  4. orang yang mencintai ilmu dan ahli ilmu
  5. orang yang mmebenci ilmu dan ahli ilmu
 Kita boleh menilai di manakah kedudukan kita. Semoga kita berada dalam golongan yang pertama hingga empat dan bukannya yang kelima. Amat rugilah mereka yang sentiasa menjauhkan diri daripada ilmu. sungguh di zaman yang serba moden ini amat senang kita meperolehi ilmu tinggal lagi nak atau tak nak sahaja menjadi pemisah antara ilmu dan jahil. Namun dalam mencari ilmu, amat penting untuk mendapatkan ilmu daripada sumber yang betul dan tepat. 

Selamat mencari ilmu dan beramal.

Wednesday, 13 November 2013

Tuntutan fasakh

Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap hari buka saja akhbar tabloid pasti ada berita mengenai isteri kena dera, kena pukul, dan pelbagai lagi penganiayaan yang dilakukan oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Membacanya membuatkan hati rasa berapi-berapi. Dimanakah nilai seorang isteri di sisi seorang lelaki. Apakah jenis lelaki yang sanggup memperlakukan isterinya sedemikian rupa. 
Di pihak isteri yang diperlakukan, undang-undang sebenarnya memberikan ruang dan peluang kepada isteri untuk mencari jalan keluar daripada perkahwinan yang penuh derita itu. Kebiasaannya isteri-isteri yang didera dan tidak tahan lagi mengahadapi penderaan boleh memohon kepada mahkamah untuk membubarkan perkahwinan secara fasakh.
Fasakh merujuk kepada pembubaran perkahwinan disebabkan olehnsesuatu perkara yang di haruskan oleh Hukum Syarak. Beradasarkan peruntukkan undang-undang Islam antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh adalah sebagaimana berikut:
a) tidak diketahui keberadaanselama tempoh lebih daripada setahun
b) tidak memberikan nafkah kepada isteri selam tempoh 3 bulan
c) telah dihukum penjara selam tempoh tiga tahun atau lebih
d) tidak menunaikan nafkah batin selama setahun tanpa sebab
e) telah mati pucuk
f) telah gila selama tempoh 2 tahun
g) sedang menghidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit
h) lazim mennyakiti dan menjadikan hidup isterinya menderita
i) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat
j) memaksa isteri hidup secara lucah
k) melupuskan harta isteri
l) menghalang isteri menunanikan kewajipan agama
m) tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak
n) tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun empat bulan telah berkahwin
o) apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak

Tuntutan fasakh boleh dikemukakan kepada mana-mana mahkamah yang berhampiran dengan kediaman pihak yang ingin menuntut. Bagi memudahkan proses pendokumentasi dan perbicaraan kelak, sebarang bukti berkaitan dengan perlakuan suami terhadap isteri sewajarnya disimpan. Antara bukti penting seperti laopran doktor, laporan polis dan/atau apa-apa gambar yang berkaitan boleh membantu perbicaraan kelak.

Semoga ada manfaatnya.

Cuti sekolah hampir tiba

Teks : Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim. 

Assalamualaikum dan salam hormat.

Marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi atas segala kurniaannya. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam.
Apa khabar agaknya suri-suri yang bekerja di luar rumah. Sedar-tak sedar kita sudah menghampiri cuti akhir tahun persekolahan. mesti suri-suri sekelian sibuk memikirkan apakah agaknya pengisian yang bakal anak-anak isi sepanjang cuti sekolah ini. moga-moga apa jua pengisian yang dirancang dipermudahkan oleh Allah dan diberkati hendaknya.
Seperti tahun-tahun sudah, dua anak bujang saya sudah didaftarkan nama masing-masing ke program cuti sekolah. Bagi si abang selama sebulan akan berada di kem tahfiz manakala si adik pula akan menghadiri program AMPAC bersama sepupunya. Mudah-mudahan pengisian tersebut bakal memberi manfaat kepada mereka. Tinggal lagi si adik bujang yang ketiga masih belum difikirkan untuk dihantar ke mana-mana program.
Ibu bapa mempunyai pelbagai pilihan pengisian anak-anak pada musim cuti sekolah. selain mengisi dengan aktiviti kekeluargaan program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak ini memberi pilihan kepada ibu bapa. Namun ianya banyak bergantung kepada keperluan dan juga kemampuan ibu bapa dalam membiayai yuran program tersebut. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak memilih. Bukan semua program sesuai kepada anak kita. Justeru ibu bapa perlu menilai sejauhmana keperluan anak tersebut terhadap program yang dicadangkan. 
Semoga cuti anak-anak kita dimanfaatkan sebaik mungkin.


Tuesday, 12 November 2013

Kelas Asas Blog dan Penulisan

Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam sejahtera kepada sesiapa sahaja yang membaca entri ini. Semoga kalian sentiasa dalam rahmat Allah.

Alhamdulillah entri di blog akhirnya cukup 44 entri.  Satu kejayaan bagi saya yang masih belajar untuk menulis dengan sempurna. Bukan mudah untuk kekal momentum dalam satu-satu masa. Sebagai seorang wanita yang berkerjaya, berkeluarga dan dalam masa yang sama sedang menyiapkan tesis bukan mudah untuk saya fokus dengan penulisan blog. Walaupun menulis adalah minat saya, namun tatkala menulis blog fikiran jauh menerawang memikirkan tesis. tatkala menulis tesis hati gundah gulana memikirkan artikel yang belum disiapkan. Saya bernasib baik akhirnya ditemukan dengan kelas maya yang mana cikgunya sering memberi inspirasi dan peringatan secara konsisten buat anak-anak murid. Sungguh melalui kelas Asas Blog dan Penulisan saya menemui sesuatu yang luar biasa yang tak mungkin saya temui dimana-mana.
Mengenali Puan Masayu melalui laman facebook, saya tertarik hati ingin mencuba kelas yang dikendalikan beliau. walaupun saya sebenarnya telah mempunyai blog sendiri pada masa itu. namun blog jarang diupdate dan entri bercampur-campur tanpa ada fokus dan halatuju. Benarlah kata orang belajar perlu berguru. Begitu juga penulisan blog. Walaupun nampak simple dan mudah, apa yang kita lakukan tak semestinya betul. Melalui kelas asas blog saya belajar teknik penulisan yang betul. Saya juga kenalpasti halatuju penulisan saya. Selainnya saya turut dimasukkan ke dalam group dan saya bertemu dengan ramai rakan maya yang cukup berwawasan yang rajin mengupdate status dan kata-kata inspirasi di facebook. Walaupun saya bukanlah seorang yang aktif berfacebook bukan juga seorang anak murid yang aktif yang sering bertanya itu dan ini. Saya lebih suka melihat dan membuat eksperimen sendirian. Namun mempunyai rangkaian teman yang aktif dan guru yang positif memberikan impak positif kepada saya.
Semoga apa jua catatan saya di blog mampu dimanfaatkan kepada sesiapa sahaja yang membacanya.





Perangkap cinta di tempat kerja

Teks : Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam hormat. Semoga anda yang membaca coretan ini sentiasa dalam limpah kasih sayang Allah.

Tajuk yang cukup dekat dengan hati saya. Sebenarnya sekian lama saya memendam hasrat untuk mencoretkan mengenai tajuk ini. namun ia sering tergendala dengan pelbagai alasan yang dicipta. Namun beberapa minggu lepas dua tiga cerita yang disampaikan kepada saya adalah berkisarkan hubungan cinta wanita bersuami di tempat kerja. Seringkali saya terfikir sendirian mengapa dan kenapa ini berlaku. Apakah penyebab cinta boleh berputik sedangkan pada masa yang sama masing-masing atau salah seorang daripada mereka sudah ada cinta hati di rumah. Namun apa yang pasti kedua-dua pihak bertanggungjawab hingga berlakunya perangkap cinta tersebut. Tanpa menafikan qada' dan qadar Allah, pastinya ada cara yang boleh kita buat bagi mengelak berlakunya seseuatu.

Benarlah pesan al quran: Janganlah kamu menghampiri zina". Bibit-bibit menghampiri perbuatan tersebut juga harus dijauhi sebaik mungkin. Saya melihat suasana pekerjaan di luar rumah memberi banyak peluang dan ruang kepada sesiapa sahaja untuk menghampiri perbuatan terlarang tersebut. Melihat contoh yang berlaku hari-hari di depan mata, percampuran di antara lelaki dan perempuan begitu ketara. Bergelak ketawa tanpa batas, makan dan minum bersama antara isteri orang dan suami orang menjadi punca berlakunya perangkap cinta baru.

Apabila berbicara dengan suami mengenai isu ini, suami ada menyatakan pendapat beliau. Menurut beliau antara sebab mengapa berlakunya bibit-bibit cinta adalah sikap suka meluah dan mendengar masalah di antara lain jantina. Memang benar antara tujuan asal hanyalah sekadar meluah perasaan, namun apabila sessi luahan perasaan berlaku terlalu kerap, bibit kemesraan dan seterusnya cinta dan rindu lambat laun akan muncul tanpa disedari. Apabila sudah ada rasa rindu dan cinta, ia akan sukar untuk diubati. Justeru sedari awal elakkan diri daripada melibatkan diri daripada mendengar luahan hati rakan berlainan jantina demi mengelak berlakunya fitnah kemudian hari.

Pengalaman mengendalikan kes syariah juga saya melihat banyak kes perceraian berlaku disebabkan perangkap cinta di tempat kerja. Tidak salah bagi seorang lelaki yang sudah beristeri mempunyai cinta baru sekiranya dia berkemampuan untuk berpoligami. Namun bagi seorang wanita yang sudah bersuami, tentunya ia satu perkara yang sukar diterima. Apatah lagi sebagai seorang wanita muslim yang tentu ada prinsip-prinsip syariat yang perlu kita jaga.

Insyaallah marilah kita sama-sama menjaga institusi perkahwinan dan kekeluargaan kita selaras dengan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. 

Semoga ada manfaatnya.













 

Monday, 11 November 2013

Penguatkuasa syariah

Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam hormat.

Hari ini kebanyakan akhbar harian memaparkan kisah menyayat hati, seorang penguatkuasa agama ditembak mati di rumahnya. Sungguh ia sungguh kejam. tanpa kita mengetahui apa motif sebenar pembunuh tersebut, ia sukar diterima. Sedih dan sayu rasa hati mengenangkan keluarga arwah. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Semoga Allah kurniakan kesabaran kepada ahli keluarga arwah dalam menghadapi ujian yang cukup berat ini.

Tugas penguatkuasa Agama bukanlah suatu tugas mudah. Seperti juga penguatkuasa yang lain, tugas mereka begitu mencabar. Mereka berhadapan dengan pelbagai watak manusia. Yang pastinya kesalahan yang dilakukan kadangkalan dirasakan tidak salah justeru bukan mudah untuk penguatkuasa agama berhadapan dengan kepelbagaian watak tersebut. Selain itu banyak tugas mencabar yang perlu dilakukan mereka yang kadangkala harus mempertaruhkan nyawa sendiri. Pernah sekali saya mengikuti operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa agama Wilayah persekutuan. Sungguh jika tidak kena caranya nyawa boleh melayang dengan tindakan agresif pesalah jenayah syariah ini. 

Walaupun kes sebagaimana yang berlaku kepada arwah KPP Pahang ini bukanlah suatu yang biasa, namun ia tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja. Penambahbaikan dari segi penjagaan keselamatan Pegawai Penguatkuasa Agama perlu dipertingkatkan. Sekiranya perlu, mereka juga harus dibekalkan senjata api bagi mempertahankan diri dan mengelakkan dari berlakunya sesuatu kemungkinan.

Sehingga berjumpa lagi.


Sunday, 10 November 2013

Merai kejayaan anak-anak

Teks : Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim dan selamat bertemu lagi.

Setelah beberapa hari sepi tanpa sebarang catatan, hari ini kembali bersiaran sambil menyaksikan persembahan anak-anak tadika. Ini adalah kali ketiga majlis keraian anak-anak yang perlu dihadiri bulan ini. Satu majlis dihadiri oleh nenek mereka memandangkan kami berdua berada di luar kawasan. Nasib baik nenek mereka ada.
Setidak-tidaknya mereka merasa dirai.
Setiap kejayaan anak-anak ini adalah antara langkah-langkah awal kejayaan mereka pada masa depan. Penghargaan yang sedikit mampu mencetus semangat untuk berusaha dengan lebih baik pada masa akan datang.

Catatan 10 Nov 2013

Tuesday, 5 November 2013

Prinsip-prinsip yang digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mutaah



Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam sejahtera.

Perkongsian hari ini adalah berkenaan prinsip-prinsip yang digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mutaah. Sebelum itu perlu untuk kita mengenali apakah itu mutaah. 
Mut’ah adalah suatu pemberian yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t terhadap suami-suami yang menceraikan isterinya tanpa sebab yang patut. Kewajipan ini bersandarkan kepada firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 241
Maksudnya
 ``Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mut’ah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertaqwa.'('dua-dua pihak isteri dan suami).

Pensyariatan mut’ah ini bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru. Di dalam al-quran mahupun as-sunnah tidak ada nas yang menyebut atau menentukan berapa kadar mut’ah yang patut diberi oleh suami kepada bekas isteri. Justeru kadar mut’ah  akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Kertas ini akan membincangkan apakah prinsip-prinsip yang boleh digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mut’ah tersebut.

Perkataan Muta’ah berasal dari kalimah Bahasa Arab iaitu al-Mataa’ ( متاع) yang membawa maksud perkara yang menyukakan hati dan boleh dimanfaatkan. Dari segi syarak ialah مال يجب علي الزوج لمفارقة بشروط Maksudnya pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami untuk diserahkan kepada isteri setelah berpisah (bercerai ) dengan syarat-syarat tertentu.

Mengikut Tafsiran Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, Sarawak 2001 “muta’ah “ bererti bayaran saguhati yang diberi dari segi Undang-undang Islam kepada isteri yang diceraikan“.

Kamus Dewan, pula menyatakan erti muta’ah ialah pemberian suami (diwajibkan kepada isteri setelah diceraikan).

Sementara dari sudut istilah pula mut’ah bermaksud satu jenis harta yang wajib ke atas suami memberikannya kepada isteri yang telah diceraikan pada masa hidupdengan talaq dan yang seumpamanya berdasarkan kepada syarta-syarat tertentu. (Mughni al Muhtaj : 241). Pemberian ini samada berupa wang, pakaian, makanan, harta dan sebagainya. Pemberian ini adalah untuk menyenangkan hatinya dan sebagai ganjaran daripada kepahitan penceraian. Kewajipan ini adalah untuk meringankan bebanan isteri yang akan hidup berasingan dan untuk menjaga keperibadian serta memuliakannya agar masyarakat tidak memandang rendah dan menuuhnya bahawa penceraian itu berlaku kerana kecacatan isteri. (Al-Fiqhul Islam wa Adillatuh:316)

Hukum Mut’ah
Para ulamak bersepakat menyatakan bahawa pemberian mut’ah oleh suami kepada isteri yang diceraikan adalah wajib berdasarkan firman Allah dalam surah Al  Baqarah ayat 236 :

Maksudnya: 
Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri kamu sebelum bersetubuh dengan mereka atau sebelum menentukan maskahwin, walau demikian hendaklah kamu memberi mut’ah (saguhati) kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing suami yang berkemampuan lebih memberikan mengikut kemmapuannya dan suami yag susah mengikut kemampuannya.

Seksyen 56 Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 2001 pula memperuntukkan sebagaimana berikut:
“Selain haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang ppatut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Undang-undang Islam.”

Penentuan kadar mut’ah

Pada dasarnya mut’ah ditentukan atas prinsip keredhaan kedua-dua belah pihak namun sekiranya tidak ada kesepakatan dalam penentuan kadar tersebut ia akan diputuskan oleh mahkamah. Dalam hal ini sebenarnya tidak ada satu garis panduan khusus kepada mahkamah dalam penentuan kadar tersebut memandangkan tidak ada penentuan nas tentang kadar mut’ah yang sepatutnya dibayar oleh suami yang menceraikan isteri-isterinya.  Kebanyakan fuqahak melakukan ijtihad berkenaan penentuan kadar mut’ah ini.

Ulamak-ulamak telah merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236 dalam menetapkan prinsip umum penentuan kadar mut’ah. Secara literalnya ayat tersebut  ditafsirkan sebagai prinsip penentuan kadar mut’ah itu adalah berdasarkan kepada keadaan dan kemampuan suami pada ketika penceraian berlaku.

As-Sayyid al-Bakri di dalam kitab Hasyiah Ianat Al Talibin semasa menghuraikan dan memberi pentafsiran yang lebih luas mengenai ayat tersebut mengatakan bahawa penentuan kadar mut’ah itu adalah dengan mengambil kira keadaan suami dan juga isteri semasa penceraiaan. Menurut As Sayyid al Bakri tafsiran kepada ayat tersebut di atas sebenarnya merujuk kepada keadaan kedua-dua suami dan isteri dan bukannya merujuk kepada suami semata-mata. Apa yang dimaksudkan dengan keadaan suami adalah berkenaan susah atau senangnya suami pada ketika itu sementara keadaan isteri pula merujuk kepada keturunan dan sifat isteri pada ketika penceraian itu berlaku. (Hasyiah Ianat al talibin:357)

Penjelasan yang sama juga disebut oleh Syeikh Mohd Khatib as Syarbini dalam  kitab al Mughni al Muhtaj yang mana teksnya bermaksud:
Maka apabila bertelingkah kedua pihak tentang kadar, qadhi hendaklah menentukan mengikut budi bicaranya dan mengambilkira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-duanya baik dari sudut kekayaan suami dan kesusahan dan keturunan perempuan dan sifatnya. (Mughi al-muhtaj :242)

Penentuan kadar mut’ah berdasarkan keadaan suami

Dalam menentukan kadar mut’ah berdasarkan keadaan suami, mahkamah boleh merujuk kepada kadar kemampuan suami sama ada senang atau susah suami tersebut pada masa penceraian berlaku.

Prof. Dr Wahbah al Zuhaily telah mengambil pendapat Ibnu Abbas dalam hal ini dengan kata beliau yang bermaksud:
Kata Ibnu Abbas(Abdullah ibnu Abbas) berhubung bayaran mut’ah  kerana penceraian mempunyai tiga tahap: iaitu tahap maksimum ialah si suami memberikan seorang pembantu rumah kepada bekas isteri yang diceraikan, membiayai sepenuhnya pembantu rumah itu selagi si isteri memerlukan dan selagi tidak berkahwin. Tahap pertengahan ialah dibayar dalam bentuk wang. Manakala tahap minimum ialah diberi pakaian (mencukupi tudung dan kasut)

Dalam  kes Tengku Anum Zaharah lwn Datuk Dr. Hussein (1980) 3 JH 125  peguam pihak isteri dalam kes tersebut telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal al-Syaksiyyah fi Ahkam zaujat wa talaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan bin Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran mut’ah. Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mut’ah, maka jumlah $25,000 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu dengan alasan suami berkemampuan untuk membayar jumlah tersebut.

Dalam satu  lagi kes di Mahkamah  Tinggi Syariah Selangor Faridah Binti Sulaiman Lwn Mohd Noh Bin Othman JH XIX/I (1426) H, YA Hakim Bicara telah memutuskan penentuan kadar mut’ah kepada plaintif sebanyak RM 10,000 dengan mengambil kira pendapatan defendan semasa penceraian iaitu berpendapatan RM10,000 sebulan.
               
Penentuan kadar berdasarkan keturunan isteri dan sifat-sifatnya

Kedudukan isteri dan sifatnya merujuk kepada perwatakan isteri tersebut serta kedudukan atau status keluarga isteri dalam masyarakat. Bagi menentukan perkara ini analogi perkahwinan perlu dikemukakan kepada mahkamah bagi memastikan apakah bayaran yang wajar kepada isteri tersebut. Sekiranya si isteri tersebut adalah seorang yang berkedudukan maka mahkamah wajar melihat kedudukan tersebut sebagi pertimbangan bagi meningkatkan kadar nafkah kepadanya berbanding si isteri yang berkedudukan lebih rendah.  
Dalam satu kes yang telah diputuskan oleh mahkamah Ismail lwn Norsiah (1970) 2 JH 111 isteri yang diceraikan telah menuntut nafkah dan mut’ah. Kadi besar telah menghukum suami itu membayar RM 300 sebagai mut’ah dan suami telah merayu kepada  Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan itu. Dalam keputusannya disebut memandangkan pihak menuntut sebagai seorang pekerja yang berpendapatan sederhana dan isteri adalah seorang yang bertaraf dalam masyarakat maka mahkmaah ini berpendapat bahawa kadar mut’ah patut dibayar olehh suami lebih daripada kadar yang telah diputuskan oleh hakim dalam perbicaraan terdahulu. Tetapi Mahkamah Ulang Bicara enggan mengubah hukuman itu dan menetapkan kadar mut’ah sebnyak RM300 hedaklah dibayar dengan sepenuhnya dalam tempoh 14  hari daripada tarikh hukuman

Seorang isteri yang diceraikan tanpa alasan yang munasabah berkemungkinan akan menghadapi cemuhan dan prasangka buruk masyarakat. Selain itu isteri tersebut juga perlu menghadapi  kekecewaan diceraikan dan kesusahan hidup bersendirian tanpa nafkah daripada suami. Justeru mahkamah boleh mempertimbangkan situasi ini bagi menentukan kadar nafkah yang munasabah.

Dalam Kes Tengku Zaharah lwn Dato’ Dr Hussein (1980) 2JH 125, mahkamah yang memerintahkan bayaran mut’ah RM25,000 kepada plaintif juga mengaitkan keadaan isteri yang patah hati dan menanggung penderitaan kerana rumah tangga dibina atas dasar cinta mencintai, dikurniakan rezeki murah dan kedudukan baik hancur berkecai kerana suami tidak jujur.

Kebanyakan ulamak ketika membahaskan mengenai prinsip penentuan kadar mut’ah  bersandarkan kepada kedudukan dan sifat isteri menyatakan bahawa kadar muta’ah yang digalakkan ialah tidak kurang daripada 30 dirham atau yang senilai dengannya, dan tidak melebihi separuh daripada kadar mahar misil ( mahar yang munasabah ) Mahar misil biasanya diqiaskan kepada mahar perempuan yang setanding dengannya daripada kerabatnya sendiri seperti saudara perempuannya yang seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Perkara-perkara lain juga perlu diambil kira dalam menentukan kadar mahar misil itu termasuklah segi kecantikan, kekayaan dan tempat: kerana mahar tidak sama antara negeri-negeri. Masing-masing mempunyai adat dan tradisi yang tersendiri. Begitu juga status perempuan kerana menurut kebiasan, gadis lebih digemari atau diingini daripada janda. Demikian juga kematangan akal fikiran, keagamaan, keluhuran budi, pengetahuan, adab kesopan dan sebagainya.
               
Prinsip tuntutan mut’ah tidak boleh disamakan dengan tuntutan harta sepencarian. Justeru alasan tempoh berkhidmat atau tempoh perkahwinan bukanlah faktor penting dalam penentuan kadar mut’ah. Walau bagaimanapun ia wajar dijadikan faktor sampingan semasa menimbangkan mut’ah. Ada pihak yang berpendapat bahawa mut’ah adalah hampir kepada nafkah jika dilihat kepada peruntukkan Seksyen 56 undang-undang Keluarga islam Sarawak 2001. Justeru penentuan kadar mut’ah wajar disamakan dengan penentuan kadar nafkah.
               
Walaupun prinsip penentuan kadar mut’ah adalah  berdasarkan keadaan suami dan isteri namun yang sebaik-baik cara mut’ah diberi adalah dengan rela hati suami yang menceraikan isterinya. Ini kerana mut’ah bukan hanya sekadar pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri kerana penceraian bukan dari sebab isteri malah ia adalah suatu bekalan bagi menghadapi kepayahan hidup bersendirian. Justeru bagai memastikan hak yang sewajarnya telah diberikan, mahkamah wajar mempertimbangkan kesemua perkara berkaitan hal ehwal suami isteri merangkumi  jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan isteri dan suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada isteri yang diceraikan itu.

 RUJUKAN

al Quran al Karim.
Ahmad Ibrahim. 1999. Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Malayan Law Journal.
al Syarbini, Al Syeikh Mohd Khatib. T.th . al-Mughni al-Muhtaj Jilid 3, Beirut: Darul Fikr.
as Syayid Abu Bakr. t.th. Hasyiah Ianat al Talibin, jilid 3, Bangkok: Matbaah Muhammad al-Nahra
al Zuhaily, Dr wahbah. 1984. al-fiqhul a-islam Wa Adillatuh, Beirut:t.tp.
Jurnal Hukum
Kamus Dewan Edisi Ketiga. 2002. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,.
Musfafa al-Khin, Mustofa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji. 2002. Kitab Fikah Mahzab Syafie- Bab Undang-Undang Kekelurgaan, Pustaka salam Sendirian Berhad: Kuala Lumpur.
 Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 2001
Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (Edisi Rumi), 1992. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, cetakan kelima Tahun

P/s: Artikel ini adalah antara koleksi peribadi penulis.