Ilmu: pencarian yang tidak berkesudahan.

Teks : Jazilah mohd saad

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

"Kewajipan menguasai ilmu tidak ada batas usia. Dengan ilmu, kita akan memperbaiki hati dan fikiran. Ilmu mampu meningkatkan kualiti hidup dan pekerjaan. Ilmu juga menjemput izzah dan kemuliaan". Dr Ridzwan Bakar.

Orang sering bertanya saya kenapa masih nak sambung belajar sedangkan kerjaya dah stabil, tidakkah susah untuk membahagi masa di antara keluarga, kerjaya dan pelajaran. Pada mulanya agak susah untuk memberikan jawapan yang memuaskan semua orang. Namun pendekatan jawapan mungkin berbeza mengikut siapa yang bertanya. Mungkin begitu juga sahabat lain yang berada di landasan yang sama.
Secara umumnya alasan dan sebab mungkin pelbagai. Bagi seorang pensyarah universiti ianya adalah satu kemestian.  Namun bagi penjawat awam ianya satu pilihan. Secara peribadi bagi saya alasan menyambung pelajaran bermula dengan beberapa sebab seperti peluang dan impian.
1. Peluang
Dalam hidup ini tidak kesemua orang mendapat peluang sebagaimana yang kita peroleh. Justeru peluang yang ada perlu diambil agar ianya tidak terlepas begitu sahaja. Bagi seorang penjawat awam peluang belajar sentiasa terbuka luas. Tinggal lagi nak atau tak nak. Dalam masa sama peluang tersebut juga perlu  direbut jika tidak ia akan terlepas ke tangan orang lain. Kadang2 peluang datang hanya sekali dan ada kalanya ianya datang berkali2. Bagi saya apabila dirasakan sesuai saya terus mengambil peluang tersebut dan menganggap ia adalah rezeki daripada Allah.
2. Impian
Impian sejak kecil adalah untuk menamatkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Impian itu sudah tertanam dijiwa sejak dulu. Benarlah kata orang, impian tanpa ada usaha hanya menjadi angan-angan. Adanya peluang memungkinkan saya mencapai impian tersebut. Usaha perlu selari dengan peluang yang ada.
3. Contoh kepada anak-anak
Jauh di sudut hati saya mengharapkan semangat untuk belajar di usia dewasa menjadi perangsang kepada anak-anak.Contoh terbaik mendidik anak-anak adalah bermula dengan ibu bapa sendiri. Anak-anak akan lebih terpengaruh dengan apa yang ditunjukkan berbanding apa yang diperkatakan.
Namun sekiranya seorang wanita berkerjaya dan berkeluarga berhasrat untuk menyambung pelajaran terutama untuk ijazah tertinggi beberapa perkara penting harus diambil dari kira.
Antara yang perlu adalah perbincangan dengan suami dan ahli keluarga lain.
Ini amat perlu. Perbincangan mungkin berkenaan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku pada masa hadapan. Ada masanya rutin biasa perlu diubah secara tiba-tiba. Ini memerlukan toleransi dan timbang rasa orang terdekat.
Selain itu kemampuan kewangan,kemampuan mengurus masa dan kemampuan mengawal emosi amat penting sepanjang perjalanan menuntut ilmu.
Tidak dinafikan hubungan yang dekat dengan Allah akan mempengaruhi corak perjalanan kehidupan kita.
Banyakkan berdoa dan istikharah. Insya Allah Dia akan menunjukkan jalan yang sebenarnya buat kita.
Semoga ada manfaatnya.

Comments

Popular posts from this blog

Pegawai Syariah

Cerai luar mahkamah

Penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah