Cuti sekolah hampir tiba
Teks : Jazilah Mohd Saad
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan salam hormat.
Marilah kita sama-sama panjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi atas segala kurniaannya. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam.
Apa khabar agaknya suri-suri yang bekerja di luar rumah. Sedar-tak sedar kita sudah menghampiri cuti akhir tahun persekolahan. mesti suri-suri sekelian sibuk memikirkan apakah agaknya pengisian yang bakal anak-anak isi sepanjang cuti sekolah ini. moga-moga apa jua pengisian yang dirancang dipermudahkan oleh Allah dan diberkati hendaknya.
Seperti tahun-tahun sudah, dua anak bujang saya sudah didaftarkan nama masing-masing ke program cuti sekolah. Bagi si abang selama sebulan akan berada di kem tahfiz manakala si adik pula akan menghadiri program AMPAC bersama sepupunya. Mudah-mudahan pengisian tersebut bakal memberi manfaat kepada mereka. Tinggal lagi si adik bujang yang ketiga masih belum difikirkan untuk dihantar ke mana-mana program.
Ibu bapa mempunyai pelbagai pilihan pengisian anak-anak pada musim cuti sekolah. selain mengisi dengan aktiviti kekeluargaan program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak ini memberi pilihan kepada ibu bapa. Namun ianya banyak bergantung kepada keperluan dan juga kemampuan ibu bapa dalam membiayai yuran program tersebut. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak memilih. Bukan semua program sesuai kepada anak kita. Justeru ibu bapa perlu menilai sejauhmana keperluan anak tersebut terhadap program yang dicadangkan.
Semoga cuti anak-anak kita dimanfaatkan sebaik mungkin.
Comments
Post a Comment