Perangkap cinta di tempat kerja

Teks : Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam hormat. Semoga anda yang membaca coretan ini sentiasa dalam limpah kasih sayang Allah.

Tajuk yang cukup dekat dengan hati saya. Sebenarnya sekian lama saya memendam hasrat untuk mencoretkan mengenai tajuk ini. namun ia sering tergendala dengan pelbagai alasan yang dicipta. Namun beberapa minggu lepas dua tiga cerita yang disampaikan kepada saya adalah berkisarkan hubungan cinta wanita bersuami di tempat kerja. Seringkali saya terfikir sendirian mengapa dan kenapa ini berlaku. Apakah penyebab cinta boleh berputik sedangkan pada masa yang sama masing-masing atau salah seorang daripada mereka sudah ada cinta hati di rumah. Namun apa yang pasti kedua-dua pihak bertanggungjawab hingga berlakunya perangkap cinta tersebut. Tanpa menafikan qada' dan qadar Allah, pastinya ada cara yang boleh kita buat bagi mengelak berlakunya seseuatu.

Benarlah pesan al quran: Janganlah kamu menghampiri zina". Bibit-bibit menghampiri perbuatan tersebut juga harus dijauhi sebaik mungkin. Saya melihat suasana pekerjaan di luar rumah memberi banyak peluang dan ruang kepada sesiapa sahaja untuk menghampiri perbuatan terlarang tersebut. Melihat contoh yang berlaku hari-hari di depan mata, percampuran di antara lelaki dan perempuan begitu ketara. Bergelak ketawa tanpa batas, makan dan minum bersama antara isteri orang dan suami orang menjadi punca berlakunya perangkap cinta baru.

Apabila berbicara dengan suami mengenai isu ini, suami ada menyatakan pendapat beliau. Menurut beliau antara sebab mengapa berlakunya bibit-bibit cinta adalah sikap suka meluah dan mendengar masalah di antara lain jantina. Memang benar antara tujuan asal hanyalah sekadar meluah perasaan, namun apabila sessi luahan perasaan berlaku terlalu kerap, bibit kemesraan dan seterusnya cinta dan rindu lambat laun akan muncul tanpa disedari. Apabila sudah ada rasa rindu dan cinta, ia akan sukar untuk diubati. Justeru sedari awal elakkan diri daripada melibatkan diri daripada mendengar luahan hati rakan berlainan jantina demi mengelak berlakunya fitnah kemudian hari.

Pengalaman mengendalikan kes syariah juga saya melihat banyak kes perceraian berlaku disebabkan perangkap cinta di tempat kerja. Tidak salah bagi seorang lelaki yang sudah beristeri mempunyai cinta baru sekiranya dia berkemampuan untuk berpoligami. Namun bagi seorang wanita yang sudah bersuami, tentunya ia satu perkara yang sukar diterima. Apatah lagi sebagai seorang wanita muslim yang tentu ada prinsip-prinsip syariat yang perlu kita jaga.

Insyaallah marilah kita sama-sama menjaga institusi perkahwinan dan kekeluargaan kita selaras dengan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. 

Semoga ada manfaatnya.













 

Comments

Popular posts from this blog

Pegawai Syariah

Cerai luar mahkamah

Penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah