Prinsip-prinsip yang digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mutaah
Teks: Jazilah Mohd Saad
Bismillahirrahmanirrahim dan salam sejahtera.
Perkongsian hari ini adalah berkenaan prinsip-prinsip yang digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mutaah. Sebelum itu perlu untuk kita mengenali apakah itu mutaah.
Mut’ah adalah suatu pemberian yang telah
diwajibkan oleh Allah s.w.t terhadap suami-suami yang menceraikan isterinya
tanpa sebab yang patut. Kewajipan ini bersandarkan kepada firman Allah s.w.t
dalam surah al-Baqarah, ayat 241
Maksudnya
``Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak
mendapat mut’ah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi
orang-orang yang bertaqwa.'('dua-dua pihak isteri dan suami).
Pensyariatan mut’ah ini bertujuan untuk
menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai
asas untuk memulakan hidup baru. Di dalam al-quran mahupun as-sunnah tidak ada
nas yang menyebut atau menentukan berapa kadar mut’ah yang patut diberi oleh
suami kepada bekas isteri. Justeru kadar mut’ah
akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan prinsip-prinsip tertentu.
Kertas ini akan membincangkan apakah prinsip-prinsip yang boleh digunakan oleh
mahkamah dalam menentukan kadar mut’ah tersebut.
Perkataan
Muta’ah berasal dari kalimah Bahasa Arab iaitu al-Mataa’ ( متاع) yang membawa maksud perkara yang menyukakan hati dan boleh
dimanfaatkan. Dari segi syarak ialah مال يجب علي الزوج لمفارقة بشروط Maksudnya pemberian
harta yang diwajibkan ke atas suami untuk diserahkan kepada isteri setelah
berpisah (bercerai ) dengan syarat-syarat tertentu.
Mengikut Tafsiran Ordinan Undang-Undang
Keluarga Islam, Sarawak 2001 “muta’ah “ bererti bayaran saguhati yang diberi
dari segi Undang-undang Islam kepada isteri yang diceraikan“.
Kamus Dewan,
pula menyatakan erti muta’ah ialah pemberian suami (diwajibkan kepada isteri
setelah diceraikan).
Sementara dari
sudut istilah pula mut’ah bermaksud satu jenis harta yang wajib ke atas suami
memberikannya kepada isteri yang telah diceraikan pada masa hidupdengan talaq
dan yang seumpamanya berdasarkan kepada syarta-syarat tertentu. (Mughni al
Muhtaj : 241). Pemberian ini samada berupa wang, pakaian, makanan, harta dan
sebagainya. Pemberian ini adalah untuk menyenangkan hatinya dan sebagai
ganjaran daripada kepahitan penceraian. Kewajipan ini adalah untuk meringankan
bebanan isteri yang akan hidup berasingan dan untuk menjaga keperibadian serta
memuliakannya agar masyarakat tidak memandang rendah dan menuuhnya bahawa
penceraian itu berlaku kerana kecacatan isteri. (Al-Fiqhul Islam wa
Adillatuh:316)
Hukum Mut’ah
Para ulamak bersepakat menyatakan bahawa
pemberian mut’ah oleh suami kepada isteri yang diceraikan adalah wajib
berdasarkan firman Allah dalam surah Al
Baqarah ayat 236 :
Maksudnya:
Tidaklah kamu bersalah jika kamu
menceraikan isteri kamu sebelum bersetubuh dengan mereka atau sebelum
menentukan maskahwin, walau demikian hendaklah kamu memberi mut’ah (saguhati)
kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing suami yang berkemampuan lebih
memberikan mengikut kemmapuannya dan suami yag susah mengikut kemampuannya.
Seksyen 56
Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 2001 pula memperuntukkan
sebagaimana berikut:
“Selain haknya untuk memohon nafkah,
seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang ppatut oleh suaminya
boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah
boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa
perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami
membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Undang-undang Islam.”
Penentuan kadar mut’ah
Pada dasarnya mut’ah ditentukan atas prinsip
keredhaan kedua-dua belah pihak namun sekiranya tidak ada kesepakatan dalam
penentuan kadar tersebut ia akan diputuskan oleh mahkamah. Dalam hal ini
sebenarnya tidak ada satu garis panduan khusus kepada mahkamah dalam penentuan
kadar tersebut memandangkan tidak ada penentuan nas tentang kadar mut’ah yang
sepatutnya dibayar oleh suami yang menceraikan isteri-isterinya. Kebanyakan fuqahak melakukan ijtihad
berkenaan penentuan kadar mut’ah ini.
Ulamak-ulamak telah merujuk kepada firman
Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236 dalam menetapkan prinsip umum penentuan
kadar mut’ah. Secara literalnya ayat tersebut
ditafsirkan sebagai prinsip penentuan kadar mut’ah itu adalah berdasarkan
kepada keadaan dan kemampuan suami pada ketika penceraian berlaku.
As-Sayyid al-Bakri
di dalam kitab Hasyiah Ianat Al Talibin semasa menghuraikan dan memberi
pentafsiran yang lebih luas mengenai ayat tersebut mengatakan bahawa penentuan
kadar mut’ah itu adalah dengan mengambil kira keadaan suami dan juga isteri semasa
penceraiaan. Menurut As Sayyid al Bakri tafsiran kepada ayat tersebut di atas
sebenarnya merujuk kepada keadaan kedua-dua suami dan isteri dan bukannya
merujuk kepada suami semata-mata. Apa yang dimaksudkan dengan keadaan suami
adalah berkenaan susah atau senangnya suami pada ketika itu sementara keadaan
isteri pula merujuk kepada keturunan dan sifat isteri pada ketika penceraian
itu berlaku. (Hasyiah Ianat al talibin:357)
Penjelasan yang sama juga disebut oleh
Syeikh Mohd Khatib as Syarbini dalam
kitab al Mughni al Muhtaj yang mana teksnya bermaksud:
Maka apabila bertelingkah kedua pihak tentang kadar, qadhi hendaklah
menentukan mengikut budi bicaranya dan mengambilkira apa yang sesuai dengan
keadaan kedua-duanya baik dari sudut kekayaan suami dan kesusahan dan keturunan
perempuan dan sifatnya. (Mughi al-muhtaj :242)
Penentuan kadar mut’ah berdasarkan keadaan suami
Dalam menentukan kadar mut’ah berdasarkan
keadaan suami, mahkamah boleh merujuk kepada kadar kemampuan suami sama ada
senang atau susah suami tersebut pada masa penceraian berlaku.
Prof. Dr Wahbah
al Zuhaily telah mengambil pendapat Ibnu Abbas dalam hal ini dengan kata beliau
yang bermaksud:
Kata Ibnu
Abbas(Abdullah ibnu Abbas) berhubung bayaran mut’ah kerana penceraian mempunyai tiga tahap: iaitu
tahap maksimum ialah si suami memberikan seorang pembantu rumah kepada bekas
isteri yang diceraikan, membiayai sepenuhnya pembantu rumah itu selagi si isteri
memerlukan dan selagi tidak berkahwin. Tahap pertengahan ialah dibayar dalam
bentuk wang. Manakala tahap minimum ialah diberi pakaian (mencukupi tudung dan
kasut)
Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Datuk Dr. Hussein
(1980) 3 JH 125 peguam pihak isteri
dalam kes tersebut telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal al-Syaksiyyah fi
Ahkam zaujat wa talaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan
bin Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar
kepada bekas isterinya sebagai bayaran mut’ah. Jika pada zaman itu jumlah
sedemikian boleh dibayar sebagai mut’ah, maka jumlah $25,000 yang diminta
sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak
suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan
itu dengan alasan suami berkemampuan untuk membayar jumlah tersebut.
Dalam satu lagi kes di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor Faridah Binti
Sulaiman Lwn Mohd Noh Bin Othman JH XIX/I (1426) H, YA Hakim Bicara telah
memutuskan penentuan kadar mut’ah kepada plaintif sebanyak RM 10,000 dengan
mengambil kira pendapatan defendan semasa penceraian iaitu berpendapatan
RM10,000 sebulan.
Penentuan kadar berdasarkan keturunan isteri dan
sifat-sifatnya
Kedudukan isteri
dan sifatnya merujuk kepada perwatakan isteri tersebut serta kedudukan atau
status keluarga isteri dalam masyarakat. Bagi menentukan perkara ini analogi
perkahwinan perlu dikemukakan kepada mahkamah bagi memastikan apakah bayaran
yang wajar kepada isteri tersebut. Sekiranya si isteri tersebut adalah seorang
yang berkedudukan maka mahkamah wajar melihat kedudukan tersebut sebagi
pertimbangan bagi meningkatkan kadar nafkah kepadanya berbanding si isteri yang
berkedudukan lebih rendah.
Dalam satu kes
yang telah diputuskan oleh mahkamah Ismail lwn Norsiah (1970) 2 JH 111 isteri
yang diceraikan telah menuntut nafkah dan mut’ah. Kadi besar telah menghukum
suami itu membayar RM 300 sebagai mut’ah dan suami telah merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan
telah menolak rayuan itu. Dalam keputusannya disebut memandangkan pihak
menuntut sebagai seorang pekerja yang berpendapatan sederhana dan isteri adalah
seorang yang bertaraf dalam masyarakat maka mahkmaah ini berpendapat bahawa
kadar mut’ah patut dibayar olehh suami lebih daripada kadar yang telah
diputuskan oleh hakim dalam perbicaraan terdahulu. Tetapi Mahkamah Ulang Bicara
enggan mengubah hukuman itu dan menetapkan kadar mut’ah sebnyak RM300 hedaklah
dibayar dengan sepenuhnya dalam tempoh 14
hari daripada tarikh hukuman
Seorang isteri yang diceraikan tanpa alasan yang munasabah
berkemungkinan akan menghadapi cemuhan dan prasangka buruk masyarakat. Selain
itu isteri tersebut juga perlu menghadapi kekecewaan diceraikan dan kesusahan hidup
bersendirian tanpa nafkah daripada suami. Justeru mahkamah boleh
mempertimbangkan situasi ini bagi menentukan kadar nafkah yang munasabah.
Dalam Kes Tengku Zaharah lwn Dato’ Dr Hussein (1980) 2JH 125,
mahkamah yang memerintahkan bayaran mut’ah RM25,000 kepada plaintif juga
mengaitkan keadaan isteri yang patah hati dan menanggung penderitaan kerana
rumah tangga dibina atas dasar cinta mencintai, dikurniakan rezeki murah dan
kedudukan baik hancur berkecai kerana suami tidak jujur.
Kebanyakan ulamak ketika membahaskan
mengenai prinsip penentuan kadar mut’ah
bersandarkan kepada kedudukan dan sifat isteri menyatakan bahawa kadar
muta’ah yang digalakkan ialah tidak kurang daripada 30 dirham atau yang senilai
dengannya, dan tidak melebihi separuh daripada kadar mahar misil ( mahar yang
munasabah ) Mahar misil biasanya diqiaskan kepada mahar perempuan yang
setanding dengannya daripada kerabatnya sendiri seperti saudara perempuannya
yang seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Perkara-perkara lain juga
perlu diambil kira dalam menentukan kadar mahar misil itu termasuklah segi
kecantikan, kekayaan dan tempat: kerana mahar tidak sama antara negeri-negeri.
Masing-masing mempunyai adat dan tradisi yang tersendiri. Begitu juga status
perempuan kerana menurut kebiasan, gadis lebih digemari atau diingini daripada
janda. Demikian juga kematangan akal fikiran, keagamaan, keluhuran budi,
pengetahuan, adab kesopan dan sebagainya.
Prinsip
tuntutan mut’ah tidak boleh disamakan dengan tuntutan harta sepencarian.
Justeru alasan tempoh berkhidmat atau tempoh perkahwinan bukanlah faktor
penting dalam penentuan kadar mut’ah. Walau bagaimanapun ia wajar dijadikan faktor
sampingan semasa menimbangkan mut’ah. Ada pihak yang berpendapat bahawa mut’ah
adalah hampir kepada nafkah jika dilihat kepada peruntukkan Seksyen 56
undang-undang Keluarga islam Sarawak 2001. Justeru penentuan kadar mut’ah wajar
disamakan dengan penentuan kadar nafkah.
Walaupun prinsip penentuan
kadar mut’ah adalah berdasarkan keadaan
suami dan isteri namun yang sebaik-baik cara mut’ah diberi adalah dengan rela
hati suami yang menceraikan isterinya. Ini kerana mut’ah
bukan hanya sekadar pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri
kerana penceraian bukan dari sebab isteri malah ia adalah suatu bekalan bagi
menghadapi kepayahan hidup bersendirian. Justeru bagai memastikan hak yang
sewajarnya telah diberikan, mahkamah wajar mempertimbangkan kesemua perkara
berkaitan hal ehwal suami isteri merangkumi
jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan
isteri dan suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku
dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada isteri yang
diceraikan itu.
RUJUKAN
al Quran al
Karim.
Ahmad
Ibrahim. 1999. Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Malayan
Law Journal.
al
Syarbini, Al Syeikh Mohd Khatib. T.th . al-Mughni al-Muhtaj Jilid 3, Beirut:
Darul Fikr.
as
Syayid Abu Bakr. t.th. Hasyiah Ianat al Talibin, jilid 3, Bangkok: Matbaah
Muhammad al-Nahra
al Zuhaily,
Dr wahbah. 1984. al-fiqhul a-islam Wa Adillatuh, Beirut:t.tp.
Jurnal
Hukum
Kamus
Dewan Edisi Ketiga. 2002. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,.
Musfafa al-Khin, Mustofa al-Bugho dan Ali
asy-Syarbaji. 2002. Kitab Fikah Mahzab Syafie- Bab Undang-Undang Kekelurgaan,
Pustaka salam Sendirian Berhad: Kuala Lumpur.
Ordinan
Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 2001
Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada
Pengertian al-Quran (Edisi Rumi), 1992. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan
Perdana Menteri, cetakan kelima Tahun
P/s: Artikel ini adalah antara koleksi peribadi penulis.
I like all of your posts. You are amzing.
ReplyDeleteAlso, Please check out my game Traffic Racing .
Thanks