Prinsip-prinsip yang digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mutaah



Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam sejahtera.

Perkongsian hari ini adalah berkenaan prinsip-prinsip yang digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mutaah. Sebelum itu perlu untuk kita mengenali apakah itu mutaah. 
Mut’ah adalah suatu pemberian yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t terhadap suami-suami yang menceraikan isterinya tanpa sebab yang patut. Kewajipan ini bersandarkan kepada firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 241
Maksudnya
 ``Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mut’ah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertaqwa.'('dua-dua pihak isteri dan suami).

Pensyariatan mut’ah ini bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru. Di dalam al-quran mahupun as-sunnah tidak ada nas yang menyebut atau menentukan berapa kadar mut’ah yang patut diberi oleh suami kepada bekas isteri. Justeru kadar mut’ah  akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan prinsip-prinsip tertentu. Kertas ini akan membincangkan apakah prinsip-prinsip yang boleh digunakan oleh mahkamah dalam menentukan kadar mut’ah tersebut.

Perkataan Muta’ah berasal dari kalimah Bahasa Arab iaitu al-Mataa’ ( متاع) yang membawa maksud perkara yang menyukakan hati dan boleh dimanfaatkan. Dari segi syarak ialah مال يجب علي الزوج لمفارقة بشروط Maksudnya pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami untuk diserahkan kepada isteri setelah berpisah (bercerai ) dengan syarat-syarat tertentu.

Mengikut Tafsiran Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, Sarawak 2001 “muta’ah “ bererti bayaran saguhati yang diberi dari segi Undang-undang Islam kepada isteri yang diceraikan“.

Kamus Dewan, pula menyatakan erti muta’ah ialah pemberian suami (diwajibkan kepada isteri setelah diceraikan).

Sementara dari sudut istilah pula mut’ah bermaksud satu jenis harta yang wajib ke atas suami memberikannya kepada isteri yang telah diceraikan pada masa hidupdengan talaq dan yang seumpamanya berdasarkan kepada syarta-syarat tertentu. (Mughni al Muhtaj : 241). Pemberian ini samada berupa wang, pakaian, makanan, harta dan sebagainya. Pemberian ini adalah untuk menyenangkan hatinya dan sebagai ganjaran daripada kepahitan penceraian. Kewajipan ini adalah untuk meringankan bebanan isteri yang akan hidup berasingan dan untuk menjaga keperibadian serta memuliakannya agar masyarakat tidak memandang rendah dan menuuhnya bahawa penceraian itu berlaku kerana kecacatan isteri. (Al-Fiqhul Islam wa Adillatuh:316)

Hukum Mut’ah
Para ulamak bersepakat menyatakan bahawa pemberian mut’ah oleh suami kepada isteri yang diceraikan adalah wajib berdasarkan firman Allah dalam surah Al  Baqarah ayat 236 :

Maksudnya: 
Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri kamu sebelum bersetubuh dengan mereka atau sebelum menentukan maskahwin, walau demikian hendaklah kamu memberi mut’ah (saguhati) kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing suami yang berkemampuan lebih memberikan mengikut kemmapuannya dan suami yag susah mengikut kemampuannya.

Seksyen 56 Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 2001 pula memperuntukkan sebagaimana berikut:
“Selain haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang ppatut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Undang-undang Islam.”

Penentuan kadar mut’ah

Pada dasarnya mut’ah ditentukan atas prinsip keredhaan kedua-dua belah pihak namun sekiranya tidak ada kesepakatan dalam penentuan kadar tersebut ia akan diputuskan oleh mahkamah. Dalam hal ini sebenarnya tidak ada satu garis panduan khusus kepada mahkamah dalam penentuan kadar tersebut memandangkan tidak ada penentuan nas tentang kadar mut’ah yang sepatutnya dibayar oleh suami yang menceraikan isteri-isterinya.  Kebanyakan fuqahak melakukan ijtihad berkenaan penentuan kadar mut’ah ini.

Ulamak-ulamak telah merujuk kepada firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 236 dalam menetapkan prinsip umum penentuan kadar mut’ah. Secara literalnya ayat tersebut  ditafsirkan sebagai prinsip penentuan kadar mut’ah itu adalah berdasarkan kepada keadaan dan kemampuan suami pada ketika penceraian berlaku.

As-Sayyid al-Bakri di dalam kitab Hasyiah Ianat Al Talibin semasa menghuraikan dan memberi pentafsiran yang lebih luas mengenai ayat tersebut mengatakan bahawa penentuan kadar mut’ah itu adalah dengan mengambil kira keadaan suami dan juga isteri semasa penceraiaan. Menurut As Sayyid al Bakri tafsiran kepada ayat tersebut di atas sebenarnya merujuk kepada keadaan kedua-dua suami dan isteri dan bukannya merujuk kepada suami semata-mata. Apa yang dimaksudkan dengan keadaan suami adalah berkenaan susah atau senangnya suami pada ketika itu sementara keadaan isteri pula merujuk kepada keturunan dan sifat isteri pada ketika penceraian itu berlaku. (Hasyiah Ianat al talibin:357)

Penjelasan yang sama juga disebut oleh Syeikh Mohd Khatib as Syarbini dalam  kitab al Mughni al Muhtaj yang mana teksnya bermaksud:
Maka apabila bertelingkah kedua pihak tentang kadar, qadhi hendaklah menentukan mengikut budi bicaranya dan mengambilkira apa yang sesuai dengan keadaan kedua-duanya baik dari sudut kekayaan suami dan kesusahan dan keturunan perempuan dan sifatnya. (Mughi al-muhtaj :242)

Penentuan kadar mut’ah berdasarkan keadaan suami

Dalam menentukan kadar mut’ah berdasarkan keadaan suami, mahkamah boleh merujuk kepada kadar kemampuan suami sama ada senang atau susah suami tersebut pada masa penceraian berlaku.

Prof. Dr Wahbah al Zuhaily telah mengambil pendapat Ibnu Abbas dalam hal ini dengan kata beliau yang bermaksud:
Kata Ibnu Abbas(Abdullah ibnu Abbas) berhubung bayaran mut’ah  kerana penceraian mempunyai tiga tahap: iaitu tahap maksimum ialah si suami memberikan seorang pembantu rumah kepada bekas isteri yang diceraikan, membiayai sepenuhnya pembantu rumah itu selagi si isteri memerlukan dan selagi tidak berkahwin. Tahap pertengahan ialah dibayar dalam bentuk wang. Manakala tahap minimum ialah diberi pakaian (mencukupi tudung dan kasut)

Dalam  kes Tengku Anum Zaharah lwn Datuk Dr. Hussein (1980) 3 JH 125  peguam pihak isteri dalam kes tersebut telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal al-Syaksiyyah fi Ahkam zaujat wa talaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan bin Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran mut’ah. Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mut’ah, maka jumlah $25,000 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu dengan alasan suami berkemampuan untuk membayar jumlah tersebut.

Dalam satu  lagi kes di Mahkamah  Tinggi Syariah Selangor Faridah Binti Sulaiman Lwn Mohd Noh Bin Othman JH XIX/I (1426) H, YA Hakim Bicara telah memutuskan penentuan kadar mut’ah kepada plaintif sebanyak RM 10,000 dengan mengambil kira pendapatan defendan semasa penceraian iaitu berpendapatan RM10,000 sebulan.
               
Penentuan kadar berdasarkan keturunan isteri dan sifat-sifatnya

Kedudukan isteri dan sifatnya merujuk kepada perwatakan isteri tersebut serta kedudukan atau status keluarga isteri dalam masyarakat. Bagi menentukan perkara ini analogi perkahwinan perlu dikemukakan kepada mahkamah bagi memastikan apakah bayaran yang wajar kepada isteri tersebut. Sekiranya si isteri tersebut adalah seorang yang berkedudukan maka mahkamah wajar melihat kedudukan tersebut sebagi pertimbangan bagi meningkatkan kadar nafkah kepadanya berbanding si isteri yang berkedudukan lebih rendah.  
Dalam satu kes yang telah diputuskan oleh mahkamah Ismail lwn Norsiah (1970) 2 JH 111 isteri yang diceraikan telah menuntut nafkah dan mut’ah. Kadi besar telah menghukum suami itu membayar RM 300 sebagai mut’ah dan suami telah merayu kepada  Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan itu. Dalam keputusannya disebut memandangkan pihak menuntut sebagai seorang pekerja yang berpendapatan sederhana dan isteri adalah seorang yang bertaraf dalam masyarakat maka mahkmaah ini berpendapat bahawa kadar mut’ah patut dibayar olehh suami lebih daripada kadar yang telah diputuskan oleh hakim dalam perbicaraan terdahulu. Tetapi Mahkamah Ulang Bicara enggan mengubah hukuman itu dan menetapkan kadar mut’ah sebnyak RM300 hedaklah dibayar dengan sepenuhnya dalam tempoh 14  hari daripada tarikh hukuman

Seorang isteri yang diceraikan tanpa alasan yang munasabah berkemungkinan akan menghadapi cemuhan dan prasangka buruk masyarakat. Selain itu isteri tersebut juga perlu menghadapi  kekecewaan diceraikan dan kesusahan hidup bersendirian tanpa nafkah daripada suami. Justeru mahkamah boleh mempertimbangkan situasi ini bagi menentukan kadar nafkah yang munasabah.

Dalam Kes Tengku Zaharah lwn Dato’ Dr Hussein (1980) 2JH 125, mahkamah yang memerintahkan bayaran mut’ah RM25,000 kepada plaintif juga mengaitkan keadaan isteri yang patah hati dan menanggung penderitaan kerana rumah tangga dibina atas dasar cinta mencintai, dikurniakan rezeki murah dan kedudukan baik hancur berkecai kerana suami tidak jujur.

Kebanyakan ulamak ketika membahaskan mengenai prinsip penentuan kadar mut’ah  bersandarkan kepada kedudukan dan sifat isteri menyatakan bahawa kadar muta’ah yang digalakkan ialah tidak kurang daripada 30 dirham atau yang senilai dengannya, dan tidak melebihi separuh daripada kadar mahar misil ( mahar yang munasabah ) Mahar misil biasanya diqiaskan kepada mahar perempuan yang setanding dengannya daripada kerabatnya sendiri seperti saudara perempuannya yang seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Perkara-perkara lain juga perlu diambil kira dalam menentukan kadar mahar misil itu termasuklah segi kecantikan, kekayaan dan tempat: kerana mahar tidak sama antara negeri-negeri. Masing-masing mempunyai adat dan tradisi yang tersendiri. Begitu juga status perempuan kerana menurut kebiasan, gadis lebih digemari atau diingini daripada janda. Demikian juga kematangan akal fikiran, keagamaan, keluhuran budi, pengetahuan, adab kesopan dan sebagainya.
               
Prinsip tuntutan mut’ah tidak boleh disamakan dengan tuntutan harta sepencarian. Justeru alasan tempoh berkhidmat atau tempoh perkahwinan bukanlah faktor penting dalam penentuan kadar mut’ah. Walau bagaimanapun ia wajar dijadikan faktor sampingan semasa menimbangkan mut’ah. Ada pihak yang berpendapat bahawa mut’ah adalah hampir kepada nafkah jika dilihat kepada peruntukkan Seksyen 56 undang-undang Keluarga islam Sarawak 2001. Justeru penentuan kadar mut’ah wajar disamakan dengan penentuan kadar nafkah.
               
Walaupun prinsip penentuan kadar mut’ah adalah  berdasarkan keadaan suami dan isteri namun yang sebaik-baik cara mut’ah diberi adalah dengan rela hati suami yang menceraikan isterinya. Ini kerana mut’ah bukan hanya sekadar pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri kerana penceraian bukan dari sebab isteri malah ia adalah suatu bekalan bagi menghadapi kepayahan hidup bersendirian. Justeru bagai memastikan hak yang sewajarnya telah diberikan, mahkamah wajar mempertimbangkan kesemua perkara berkaitan hal ehwal suami isteri merangkumi  jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan isteri dan suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada isteri yang diceraikan itu.

 RUJUKAN

al Quran al Karim.
Ahmad Ibrahim. 1999. Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: Malayan Law Journal.
al Syarbini, Al Syeikh Mohd Khatib. T.th . al-Mughni al-Muhtaj Jilid 3, Beirut: Darul Fikr.
as Syayid Abu Bakr. t.th. Hasyiah Ianat al Talibin, jilid 3, Bangkok: Matbaah Muhammad al-Nahra
al Zuhaily, Dr wahbah. 1984. al-fiqhul a-islam Wa Adillatuh, Beirut:t.tp.
Jurnal Hukum
Kamus Dewan Edisi Ketiga. 2002. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,.
Musfafa al-Khin, Mustofa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji. 2002. Kitab Fikah Mahzab Syafie- Bab Undang-Undang Kekelurgaan, Pustaka salam Sendirian Berhad: Kuala Lumpur.
 Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 2001
Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (Edisi Rumi), 1992. Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, cetakan kelima Tahun

P/s: Artikel ini adalah antara koleksi peribadi penulis.

Comments

  1. I like all of your posts. You are amzing.
    Also, Please check out my game Traffic Racing .
    Thanks

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pegawai Syariah

Cerai luar mahkamah

Penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah