Sunday, 21 July 2013

Sabar dalam rumahtangga

Teks: Jazilah mohd saad

Orang kata sabar adalah kunci kebahagiaan. Orang-orang yang bersabar juga membuktikan tahap keimanan mereka. Sebagaimana maksud hadis: sabar itu sebahagian daripada iman. Namun membina rasa sabar bukanlah semudah ianya diucapkan. Ia perlukan latihan yang berterusan.
Dalam mengemudi bahtera rumahtangga sabar perlu sentiasa ada bersama. Tanpa sabar amat mudah untuk kita rasa marah, kecewa dan sakit hati. Betapa ramai pasangan yang kurang sabar dalam mengemudi rumahtangga akhirnya bertemu kekecewaan.
Bagaimana membina rasa sabar dalam menghadapi mehnah rumahtangga....antara beberapa teknik membina dan memupuk rasa sabar yang sering digunakan adalah:
1. Sering mengamalkan sikap baik dalam kehidupan seharian.
2. Apabila timbul rasa ingin marah sentiasa ingat akibat buruk hasil daripada kemarahan yang terlampau.

3. Berwuduk dengan segera dan jika berkelapangan dirikan solat sunat.

4. Ingat kembali kenangan manis  yang ada.

5. Banyakkan berdoa dan istighfar. Semoga Allah anugerahkan sifat sabar dalam kehidupan.
Wallahuaklam.

Friday, 19 July 2013

Perceraian-perceraian dengan talak atau perintah mahkamah

Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahhirrahmanirrahim dan assalamualaikum.

Perkongsian pada hari ini adalah berkaitan dengan penceraian. Perkongsian ini adalah sambungan daripada siri perkongsian sebelum ini. Sebelum ini penulis pernah menyentuh mengenai jenis-jenis perceraian sebagaimana di peruntukkan oleh undang-undang Islam di Malaysia. Pada kesempatan ini perkongsian adalah berkenaan cerai melalui lafaz talak atau melalui perintah mahkamah.
Peruntukkan mengenai perceraian melalui kaedah ini terdapat dalam undang-undnag keluarga islam negeri-negeri (Seksyen 45). kebiasaannya pasangan yang ingin bercerai akan hadir ke mahkamah untuk memohon perceraian dengan alasan tidak lagi wujud persefahaman dalam kehidupan berpasangan mereka. Permohonan untuk bercerai jenis ini memerlukan pasangan (suami atau isteri) yang berhasrat untuk bercerai mengisi borang permohonan untuk bercerai secara lafaz talak.
Selepas permohonan untuk bercerai diterima oleh mahkamah, mahkamah akan mengeluarkan saman kepada pihak yang satu lagi (samada isteri atau suami) untuk hadir ke mahkamah menyatakan pendirian samada setuju atau tidak untuk bercerai. Sekiranya pihak yang satu lagi bersetuju dan mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu telah pecah belah dangagal diselamatkan, suami akan dinasihatkan supaya melafazkan cerai dengan lafaz satu talak di hadapan mahkamah
Namun sekiranya pihak yang satu lagi tidak bersetuju terhadap perceraian dan pada masa yang sama terdapat kemungkinan perkahwinan boleh diselamatkan dan ada jalan perdamaian, mahkamah akan melantik jawatankuasa pendamai bagi merujuk kes tersebut kepada pihak berkenaan. Jawatankuasa pendamai terdiri daripada Pegawai Agama sebgai Pengerusi dan 2 orang yang lain dengan seorang daripada pihak isteri dan seorang lagi daripada pihak suami.
selepas usaha perdamaian dibuat dan tidak ada jalan perdamaian dan perakuan telah dikeluarkan oleh jawatan kuasa penddamai, maka mahkamah boleh mengarahkan suami melafazkan lafaz cerai di hadapan mahkamah. sekiranya suami enggan maka kes berkenaan hendaklah dirujuk kepada hakam untuk tindakan selanjutnya.
Hakam adalah timbangtara yang dilantik oleh mahkamah yang bertindak bagi pihak isteri dan suami dalam menyelesaikan pertelingkahan. perlantikan hakam dibuat setelah mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian sentiasa berlaku antara pihak-pihak. prosedur timbangtara oleh hakam diperincikan dalam seksyen 46 undang-undang keluarga Islam.
secara ringkas hakam mempunyai kuasa dan boleh jika kuasa mereka membenarkan untuk melafazkan lafaz talak di hadapan mahkamah. namun jika hakam berpendapat mereka patut bercerai namun kuasa tidak mebenarkan, mahkamah boleh melantik hakam lain dan memberikan mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian.
sekiranya dilihat kepada prosedur perceraian, ia nampak rumit sekiranya tidak ada persetujuan kedua belah pihak. namun kerumitan ini adalah sebagai jalan dan usaha perdamaian yang seharusnya didahulukan sebagaimana yang ditekankan dalam prisip perundangan islam.
Wallahuaklam.

Thursday, 18 July 2013

sabar tatkala diuiji

Teks : Jazilah Mohd Saad

Bismisllahirrahmanirrahim, Assalaumualaikum.

Hari ini sudah masuk hari kesepuluh ramadan. Semalam saya menerima berita kematian suami saudara sepupu sebelah ayah. Pada usia yang masih muda dan anak-anak masih kecil arwah pergi meninggalkan alam fana. Hati terkedu dan sedih mengenangkan nasib anak-anak yang masih kecil yang ditinggalkan. mudah-mudahan kehidupan mereka akan terus disinari kasih sayang saudara mara di sekeliling selepas ini. begitulah kehidupan. ada masa kita diuji dengan kematian dan ada ketikanya diuji dengan kemiskinan, kesakitan , kegagalan dan pelbagai lagi ujian. hanya insan-insan yang bersabar dan tabah mencari jalan keluar akan berjaya. doa dan usaha perlu seiring tanpa ada pengecualian. 

Semasa menjalankan tugas sebagai pegawai syaraiah di Jabatan Bantuan Guaman, kami sering menerima kedatangan isteri-isteri yang mengadu masalah kekeluargaan. Pelbagai masalah yang dihadapi antaranya suami menghilangkan diri tanpa nafkah, suami melarikan anak-anak, suami curang dan tidak kurag juga aduan diterima daripada suami mengenai masalah mereka bersama isteri atau bekas isteri mereka. Perkara pertama terdetik di hati tatkala berhadapan dengan masalah klien ini...saya akan berkata..inilah ujian Allah..insyaallah ada jalan keluar..

Namun ada juga tatkala kita memberi nasihat, mereka memulangkan kembali kata-kata...aah tak terkena kat puan..senangla puan bagi nasihat....senyum...tak perlu kata apa-apa. begitulah..... apabila berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia. kebanyakan akan berada dalam situasi emosional apabila berhadapan dengan masalah lebih-lebih lagi apabila ianya adalah masalah melibatkan hati dan perasaan.

Seringkali apabila emosi menguasai segala masalah jarang dapat diselesaikan dengan cepat malah kadangkala ia berlarutan hingga bertahun-tahun. namun apabila sabar berjaya mengawal emosi ...alhamdulillah segalah masalah menjadi mudah.

Sungguh Allah tidak akan menguji kita diluar kemampuan kita. Ujian hanya diberi pada hambaNya mengikut kemampuan hambanya.

Wednesday, 17 July 2013

Hak isteri yang diceraikan

Teks: Jazilah mohd Saad

Penulisan ini adalah sambungan kepada entri sebelum berkaitan hak-hak isteri selepas diceraikan. Boleh rujuk  di sini. Perbincangan pada entri ini khusus kepada hak nafkah.

Secara umumnya nafkah yang boleh dituntut terdiri daripada 2 jenis nafkah iaitu nafkah isteri dan nafkah anak. namun entri kali khusus membicarakan berkenaan nafkah isteri.Selepas perceraian berlaku, isteri yang diceraikan boleh menuntut nafkah iddah dan juga nafkah isteri yang tertunggak. 

Nafkah iddah bermaksud nafkah di sepanjang tempoh iddah. tempoh iddah adalah berbeza mengikut jenis perceraian yang berlaku. Ianya layak dituntut hanya bagi tempoh iddah sahaja dan tamat sebaik sahaja tempoh iddah habis. Hak ini adalah sebagaimana di sebut di dalam al-quran dalam surah al-talaq ayat 6. intipati ayat tersebut mengarahkan supaya isteri-isteri yang diceraikan perlu disediakan kediaman dan menyediakan nafkah sewajarnya sekiranya ia hamil. 

Sementara nafkah tertunggak adalah tunggakan nafkah isteri yang tidak dibayar oleh bekas suami selama tempoh perkahwinan. Tuntutan nafkah tertunggak ini boleh dianggap sebagai hutang ke atas bekas suami tersebut.


Catatan hujung minggu

Teks: Jazilah mohd saad
Bismillahirrahmanirrahim. Hari sabtu yang rileks. Sarapan pagi siap terhidang. Biasanya hujung minggu adalah masa untuk bebas dari masak memasak sesi pagi. Hajat di hati nak mencari nasi lemak jer sebagai sarapan pagi namun mak mertua yang baik hati telah siap sedia dengan nasi goreng untuk anak menantu dan cucu-cucunya. Alhamdulillah kenyang.
Tugas hari ini adalah untuk menyiapkan kerja-kerja mengedit tesis sarjana kekanda kandung. Hanya sikit lagi. Harap dapat disiapkan sebelum tengah hari.  Hanya ini termampu di bantu. Mudah mudahan dengan bantuan kecil ini dapat merealisasikan impian beliau.
Mencuri waktu menjenguk Facebook. .rata rata status kawan-pegawai syariah adalah mengenai persidangan yang bakal berlangsung mulai hujung minggu ni. Lama sungguh tidak ikut serta. Persidangan adalah medan menimba ilmu. Persidangan juga adalah wacana pembentukan sahsiah pegawai. Komitmen dan disiplin sepanjang persidangan adalah cerminan komitmen dan disiplin semasa bertugas. Mudah mudahan persidangan tahunan di Kuching Sarawak kali ini lebih bermakna bagi rakan rakan semua.
Rindunya kat sarawak. .kat orang-orang di sana yang cukup baik hati...insya Allah suatu hari nanti akan bertemu jua.

Pertemuan dengan penyelia

Teks: jazilah mohd saad.
Alhamdulillah. Hari ini sudah hari ke 8 umat islam menjalani ibadah puasa. Sebetulnya saya tidak terlalu menghitung jumlah hari tambahan pula anak-anak tidak pernah menyebutnya.
Hari ini juga merupakan hari pertemuan saya dengan supervisor. Pada masa menulis ini saya masih tertunggu-tunggu  kehadiran beliau. semoga saya tidak menunggu terlalu lama.
Bercerita tentang penantian, semua orang pasti tidak suka menunggu lama. Benar..penantian membuatkan kita resah gelisah.
Pengalaman berurusan dengan mahkamah mengajar saya supaya lebih sabar. Sebagai seorang peguam pada ketika itu kita bukan sahaja berhadapan dengan mahkamah malah klien, rakan peguam, agensi kerajaan lain dan juga hakim sendiri.
Menunggu kedatangan hakim tidaklah serisau menunggu kedatangan klien sendiri. Apa tidaknya sekiranya klien tidak hadir pastinya kes yang dibawa akan mengalami masalah dan berkemungkinan dibuang apatah lagi sekiranya seorang peguam belum lagi menerima lafaz wakalah sebagai peguam bagi klien tersebut.

Tuesday, 16 July 2013

Hak yang boleh dituntut oleh seorang isteri selepas penceraian

Teks: Jazilah Mohd Saad

assalamualaikum

Entri kali ini adalah berkaitan dengan hak seorang isteri setelah berlakunya penceraian.
Sesungguhnya penceraian bukanlah jalan terakhir penyelesaian masalah malah ia juga bukan langkah yang pertama yang perlu diambil sekiranya berhadapan dengan konflik rumahtangga. namun perceraian juga mungkin jalan penyelesaian terbaik sekiranya konflik tidak lagi mampu diatasi.

Kebiasaanya apabila berlaku sesuatu penceraian wanita akan mengambil langkah yang mudah meninggalkan rumah kelamin dan kembali bersama orang tua masing-masing. namun tidak kurang juga wanita yang berani bersuara menuntut hak dan keadilan selepas berlakunya penceraian.
dalam menuntut hak dan keadilan, perlulah berasaskan kepada apa yang diperuntukkan oleh undang-undang di mana pasangan tersebut bermastatutin.
Merujuk kepada undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan antara hak yang boleh dituntut selepas berlakunya perceraian adalah seperti berikut::
1. Nafkah
2. Mutaah
3. Hak terhadap mas kahwin
4. Harta sepencarian
5. Hak terhadap penjagaan anak


Monday, 15 July 2013

Perceraian

Teks: Jazilah mohd Saad

Assalamualaikum dan salam hormat.

Sebuah perkahwinan diibaratkan sebuah perjuangan. ada yang gagal ada yang berjaya. Kejayaan dalam mengharungi sesebuah perkahwinan pastinya adalah sebuah perkahwinan yang mempunyai persiapan yang rapi sebelum perkahwinan diteruskan. namun kegaglan juga tidak bermaksud tidak ada persiapan namun berkemungkinan persiapan belum cukup untuk menangkis segala unsur-unsur yang menganggu sebuah perjuangan. Justeru kegagalan dalam perkahwinan bukanlah penamat sebuah kehidupan.
Di dalam peruntukkan undang-undang keluarga islam (merujuk kepada Ordinan Keluarga Islam Sarawak) terdapat beberapa jenis perceraian yang dimohon oleh pasangan yang ingin meleraikan ikatan perkahwinan. Antara jenis perceraian itu adalah 
  • perceraian dengan talaq atau perintah mahkamah (s.45)
  • perceraian secara khulu' atau tebus talaq(s.47)
  • perceraian secara pengesahan lafaz taklik (s.48)
  • perceraian secara lian (s.49)
  • perceraian secara fasakh (s.49)
Selain itu terdapat beberapa perkara lain yang boleh membubarkan perkahwinan antaranya pertukaran agama (s.44) dan anggapan kematian (s.52).


**Dapatkan panduan membina keluarga bahagia di sini dan  tips komunikasi keluarga bahagia di sini.**

Thursday, 11 July 2013

Pilihan anak

Assalamualaikum dan salam kasih sayang.
Teks: Jazilah Mohd Saad

Alhamdulillah diberi kesempatan menukilkan sesuatu pada hari. idea menulis nampaknya datang mencurah-curah. munggkin keberkatan bulan ramadan dan mungkin juga perut yang kosong membuatkan otak bergerak lebih laju berbanding biasa.
Apa yang nak dikongsi di sini hari ini adalah berkisarkan kasih sayang. sepanjang 3 tahun menjadi peguam syarie saya banyak mengendalikan kes-kes keluarga yang banyak memberi inspirasi dan terkesan ke dalam jiwa saya. 
Kisah perebutan dua orang anak (seorang lelaki dan seorang perempuan)
Perkahwinan yang berakhir dengan perceraian mengakibat konflik terhadap hak penjagaan anak. masing-masing ingin mempertahankan bahawa merekalah yang sewajarnya menjaga anak-anak tersebut. akhirnya kerana tidak dapat diselesaikan melalui persetujuan, isu tersebut dibawa ke mahkamah. Sebelum kes dibawa ke mahkamah anak perempuan tinggal bersama ibu manakala anak lelaki tinggal bersama bapa. namun apabila kes dibawa kemahkamah, mahkamah membuat kepeutusan dan dipersetujui kedua-dua belah pihak anak membuat pilihan dengan siapa mereka ingin tinggal. 
Masing-masing begitu yakin anak-anak pasti ingin bersama mereka terutama anak yang telah bersama mereka sebelum kes dibawa ke mahkamah. namun apa yang terjadi anak yang dahulunya tinggal bersama bapa akhirnya memutuskan untuk tinggal bersama ibu manakala anak yang dulunya bersama ibu membuat keputusan bersama bapa. 
terkedu keduaduanya. masakan tidak masing-masing telah berusaha memberikan dan menjanjikan yang terbaik supaya anak itu kekal tinggal bersama mereka. keputusan anak-anak tersebut di luar jangkaan mereka. 
namun disebaliknya saya mempunyai pandangan sisi yang berbeza. sebenarnya adalah anak-anak ini ingin bersama kedua-duanya. namun tidak difahami oleh kedua ibu dan bapa mereka oleh sebab ego dan dendam. saya melihat mata kedua anak-anak ini berkaca apabila hakim mengeluarkan perintah berdasarkan persetujuan tersebut.
Hingga bertemu lagi. 

Jabatan Bantuan Guaman

Teks: Jazilah Mohd Saad

Assalamualaikum dan salam penuh kasih sayang.

Pengendalian kes di mahkamah adakalanya rumit dan memerlukan khidmat seorang peguam yang mammpu berhujah untuk membentangkan kes dan menghujahkan fakta berkaitan tuntutannya di hadapan mahkamah. tidak semua individu dikurniakan kebolehan untuk berhujah. Kadang-kadang juga prosedur yang rumit dan kompleks mmemerlukan kepakaran yang khusus untuk mengendalikannya.Adakalanya kerana kelemahan berhujah, kes atau tuntutan ditolak oleh mahkamah.
Dalam pengendalian kes mahkamah syariah, masyarakat awam boleh memilih samada menggunakan khidmat peguam swasta atau peguam kerajaan bagi mengendalikan kesnya. bagi memilih peguam swasta kebiasaannya senarai peguam ada diletakkan di papan-papan kenyatataan mahkamah. manakala bagi peguam kerajaan boleh merujuk ke Jabatan bantuan Guaman.
Entri ini sebenarnya khusus untuk memperkenalkan fungsi dan peranan Jabatan Bantuan Guaman dalam pengendalian kes di mahkamah syariah.
Jabatan Bantuan Guaman ialah suatu agensi Kerajaan yang memberi nasihat dan bantuan guaman kepada golongan yang berpendapatan rendah berhubung dengan isu atau perkara undang-undang yang tidak mampu untuk mengambil khidmat peguam swasta bagi mewakili mereka di mahkamah.

Kes yang dikendalikan oleh jabatan bantuan Guaman adalah sebagaimana berikut:


  • Prosiding yang berhubungan dengan pertunangan (ganti rugi), nafkah, jagaan, perceraian, hutang perkahwinan, mutaah dan harta sepencarian.
  •  Prosiding yang berhubungan dengan alang semasa hidup (hibah) dan wasiat
 Ada dua kategori individu yang layak mendapatkan khidmat bantuan Guaman jabatan bantuan Guaman iaitu:

  • individu yang mempunyai Sumber kewangan tidak melebihi RM25,000 setahun akan dikenakan fee RM2.

  •  individu yang mempunyai sumber kewangan melebihi RM25,000 setahun tetapi kurang daripada RM30,000 setahun akan dikenakan fee RM2 dan sumbangan sebanyak RM300. 
 Maklumat lanjut mengenai jabatan bantuan Guaman boleh diakses melalui portal Jabatan bantuan guaman

Wednesday, 10 July 2013

Persediaan sebelum menghadirkan diri di mahkamah

Teks : Jazilah mohd Saad
Bismillahirrahmanirrahim dan salam penuh kasih sayang. Semoga sesiapa sahaja yang membaca catatan ini mendapat sedikit manfaat dengan perkongsian ini.
Menerima surat supaya menghadirkan diri ke mahkamah mampu membuatkan seseorang itu tidak tidur malam memikirkan nya. Seolah-olah mahkamah adalah medan tempur. Namun tidak kurang juga ada individu yang berkobar-berkobar penuh semangat menghadirkan diri lebih-lebih lagi apabila proses tersebut dimulakan oleh mereka.
Walau apapun tujuan kehadiran ke mahkamah persediaan yang sewajarnya perlu dibuat.
Antara persediaan dan keperluan yang perlu ada sekiranya perlu hadir atau berurusan di mahkamah syariah adalah:
*kad pengenalan atau apa-apa pengenalan diri.
*dokumen berkaitan kes seperti sijil nikah, dokumen mahkamah seperti perintah, saman sekiranya berkaitan.
*menutup aurat dan berpakaian sopan. Bagi sesetengah mahkamah syariah, pemakaian jeans dan topi (cap) juga tidak dibenarkan. Cermin mata hitam juga perlu ditanggalkan semssa urusan mahkamah.
*kehadiran hendaklah 10 minit awal bagi membolehkan persediaan awal dibuat lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan perbicaraan. Sekiranya terlewat dibimbangi kes akan dibuang atau ditangguhkan kepada tempoh masa yang lama.
*sekiranya membawa anak kecil pasti kan tidak dibawa masuk ke dalam dewan perbicaraan dan tidak membuat bising di mahkamah.
Sekadar ini dahulu yang terlintas di fikiran.
Wallahuaklam.

Mahkamah syariah

Teks: Jazilah Mohd Saad

Serba ringkas mengenai mahkamah syariah

Seringkali apabila disebut perkataan mahkamah, orang akan takut dan adakalanya mencemuh seolah-olah mahkamah adalah tempat di mana berlakunya salah laku ataupun adanya masalah dan konflik. apabila disebut mahkamah syariah, perkataan yang sering di kaitkan dengan mahkamah adalah "cerai", "berebut anak" dan adakalanya poligami. mahkamah syariah juga sering di label mahkamah "low class' oleh individu-individu yang sememangnya tidak senang sekiranya undang-undang islam dilaksanakan sepenuhnya. bagi mengelak salah tanggapan pelbagai pihak terhadap mahkamah syariah pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan telah dilakukan oleh pentadbiran mahkamah syariah terutamanya ke arah lebih mesra pelanggan.

Di Malaysia terdapat lebih kurang  102 buah mahkamah syariah. mahkamah ini terdiri daripada mahkamah rendah, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan. Hakim yang dilantik adalah terdiri daripada pegawai syariah samada yang dilantik melalui lantikan negeri atau persekutuan (bagi negeri gunasama) setakat ini negeri yang termasuk dalam negeri gunasama adalah Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah. Selain daripada hakim beberapa jawatan lain seperti bailif, pendaftar, adalah antara kakitangan dan pegawai yang membantu menyelesaikan pengurusan kes di mahkamah syariah.

Dari segi sumber bidang kuasa, mahkamah syariah adalah berdasarkan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan Jadual Kesembilan Senarai 2. kuasa yang diberikan berdasarkan senarai tersebut adalah badan perundangan negeri diberikan kuasa untuk mentadbir Undang-undang islam dan semua hal ehwal islam di negeri masing-masing kecuali Wilayah Persekutuan. di bawah kuasa inilah pihak berkuasa bagi satu-satu negeri mewujudkan mahkamah syariah bagi mengendali perbicaraan bagi orang-orang islam. 

(untuk rujukan lanjut Enakmen/Ordinan Pentadbiran negeri-negeri, Perlembagaan Persekutuan)






Tuesday, 9 July 2013

Pegawai Syariah

Assalamualaikum.....
hari ini adalah hari terakhir dalam bulan Syaaban. Semoga Ramadan yang bakal menjelma disambut penuh kegembiraan dan tanamkan azam supaya Ramadan kali ini adalah Ramadan terbaik bagi kita semua. Penuhilah bulan penuh rahmat dan maghfirah ini dengan amal ibadat yang tulus ikhlas semata-mata mengharapkan ganjaranNya.

Alhamdulillah diberi kesempatan mencatatkan sesuatu di ruangan blog ini. Hari ini sekadar perkongsian dengan pembaca mengenai kerjaya sebagai Pegawai Syariah.

Teks: Jazilah Mohd Saad

Bagi sesetengah orang mungkin kerjaya sebagai pegawai syariah asing bagi mereka. Seringkali juga masyarakat keliru antara pegawai Hal Ehwal Agama Islam dan pegawai syariah, Begitu juga di antara pegawai syariah dan pegawai undang-undang.

Secara spesifiknya pegawai syariah adalah salah satu peluang kerjaya yang diwujudkan bagi pemegang ijazah sarjana muda Syariah atau Pengajian Islam degan pengkhususan syariah. Individu yang berhasrat menjawat jawatan pegawai syariah harus juga mempunyai Diploma Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam daripada mana-mana universiti yang diiktiraf.

Suruhanjaya yang melantik adalah samada suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri atau persekutuan.

Dari segi bidang tugas pegawai syariah  akan ditugaskan dalam bidang yang melibatkan perundangan Islam samada sebagai hakim, pendaftar, pegawai sulh, pegawai Bahagian Sokongan Keluarga dan pendakwa Syarie. Selain itu mereka juga boleh ditugaskan di Jabatan Kehakiman Syariah sebagai pegawai syariah mengikut pengkhususan bidang tugas bahagian masing-masing. Selebihnya pegawai syariah juga boleh ditempatkan di jabatan selain mahkamah syariah dan jabatan kehakiman syariah, antaranya adalah Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Kebiasaannya antara tugas yang perlu dilaksanakan sebagai pegawai syariah adalah mengendalikan Mahkamah Syariah di peringkat daerah, bertindak sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah, membuat persediaan ‘ground of judgement' kes-kes rayuan, membuat laporan undang-undang untuk terbitan dalam Jurnal Undang-undang Syariah dan mengesahkan perakuan permohonan pembahagian harta pusaka di bawah bidang kuasa yang ditetapkan.
Bagi yang berminat dan mempunyai kelulusan yang bersesuaian bolehlah memohon melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri atau persekutuan. 

untuk maklumat lanjut:

Monday, 8 July 2013

Undang-undang Islam di Malaysia

Teks: Jazilah Mohd Saad

Assalamualaikum dan salam hormat.

Entri ini masih dalam rangka memperkenalkan undang-undang Islam sebagaimana yang diamalkan di Malaysia. Sebagaimana yang dicatatkan pada entri sebelum ini bahawa perkembangan Islam di tanah melayu sedikit terbantut selepas kedatangan Inggeris. kedatangan Inggeris telah membawa bersama rujukan-rujukan perundangan yang diamalkan oleh mereka. justeru tidak hairanlah mengapa undang-undang yang ada pada hari ini di malaysia banyak dipengaruhi oleh corak sistem kehakiman mereka. walaupun undang-undang Islam dibenarkan pelaksanaannya, namun ia amat terhad dan hanya boleh dilaksanakan oleh orang-orang Islam dan hanya bersangkutan kepada hal-hal kekeluargaan dan kesalahan terhadap agama selagi ianya tidak bersalahan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.  Secara ringkasnya undang-undang Islam yang boleh dilaksanakan di Malaysia terdiri daripada undang-undang berikut:
  • Undang-undang Keluarga Islam
  • Undang-undang Jenayah
  • Undang-undang keterangan
  • Undang-undang tatacara mal
  • Undang-undang tatacara jenayah
**bersambung***

Sunday, 7 July 2013

Latar belakang undang-undang Islam di Malaysia


Teks: Jazilah Mohd Saad

Penulisan Ini Adalah Sebahagian Daripada Rangka Penulisan Tesis Penulis

Latar Belakang Undang-Undang Islam Di Malaysia

Dari segi sejarah, undang-undang Islam telahpun wujud di tanah Melayu sejak tahun 1313. Kewujudan undang-undang Islam di Tanah Melayu adalah selaras dengan perkembangan dakwah Islam di rantau ini. Sejak abad ke-13 Islam telah mula tersebar di Asia Tenggara dan ke Tanah Melayu beberapa abad kemudiannya. Pengaruh kedatangan Islam di kesan di Melaka pada abad ke-15.
Kedatangan Islam di Tanah Melayu memberi kesan kepada corak kehidupan masyarakat Melayu. Pengaruh dan kesan  ajaran Islam adalah  melalui peranan kerajaan dan yang diikuti oleh kebanyakan orang. Pengaruh Islam dalam kehidupan awam juga member kesan kepada budaya dan adat Melayu. Selain itu pengaruh Islam juga dilihat dalam pembuatan peraturan dan undang-undang. Sebagai contohnya, undang-undang Melaka (Hukum Kanun Melaka) menunjukkan pengaruh Islam dalam beberapa klausa peruntukkannya. Kesan  yang sama juga berlaku di beberapa negeri seperti Pahang (Undang-undang Pahang 1595), Kedah (Undang-undang Kedah 1605), Johor (Undang-undang Johor 1789), Perak (Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan  dan Undang-undang Perak 1878).
Walau bagaimanapun kedatangan British ke Tanah Melayu telah berubah sebaik sahaja kedatangan British ke Tanah Melayu. Kedatang British membawa beberapa transformasi terhadap undang-undang termasuklah undang-undang Islam. Itulah sebabnya kenapa sesetengah penulis ada member pandangan  bahawa adalah  tidak mustahil untuk undang-undang Islam menjadi  undang-undang utama di Tanah melayu sekiranya British tidak bertapak di tanah Melayu. Kolonial British semasa penjajahannya telah memperkenalkan sistem undang-undang pentadbiran sendiri. Hakim-hakim Inggeris telah dibawa masuk untuk menerajui mahkamah. justeru adalah tidak mengahirankan sekiranya  hakim-hakim Inggeris ini akan membawa bersama mereka prinsip-prinsip undang-undang Inggeris memandangkan mereka telah dilatih dengan prinsip tersebut.
Akhirnya, penjajahan British telah Berjaya mempengaruhi  sistem pentadbiran tanah Melayu dan menyebabkan undang-undang Islam yang sedang dalamproses perkembangan pada ketika itu kelihatan sedang mengalami proses perkembangan akhirnya suram dan hanya berkembang di kalangan umat Islam. Walaupun undang-undang Islam telah diiktiraf sebagai undang-undang tanah Melayu, ia telah diletakkan dalam kedudukan yang lebih rendah selepas undang-undang sivil.
          Keadaan ini secara tidak langsung telah mewujudkan dualisme dalam undang-undang. Dualisme dalam undang-undang, telah membawa banyak masalah terutamanya  kepada proses perbicaraan  dan mengeluarkan perintah Mahkamah Syariah. Perintah mahkamah syariah telah dilihat  hanya satu penghakiman di atas kertas dan tidak boleh dikuatkuasakan dengan berkesan. Oleh itu, masyarakat dan pengamal undang-undang mempunyai sikap untuk memberi keutamaan kepada mahkamah sivil apabila terdapat konflik bidang kuasa antara kedua-dua undang-undang. Ini dapat dilihat dengan campur tangan mahkamah sivil dalam beberapa kes walaupun ianya tidak  sama sekali berbidang kuasa.Antara contohnya adalah  permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan dua anak dalam kes Mohamed Ariff vs Myriam [1971] 1 MLJ 265, di mana Mahkamah dalam kes ini telah membenarkan permohonan itu atas alasan bahawa ia adalah bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar permohonan . Walau bagaimanapun pindaan kepada 121 (A) yang berkuat kuasa pada 10 Jun 1988 memberikan sedikit perubahan kepada keadaan ini.
Walaupun pindaan Artikel 121 (1) (A) telah memberikan kesan yang lebih positif kepada bidangkuasa mahkamah syariah tetapi masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah dan pada masa yang sama  mengelakkan konflik undang-undang.


Sumber rujukan:

Ahmad ibrahim dan ahilemad joned, The Malaysian Legal System at 52, 71.

Liaw Yock Fang, Undang-undang Melaka, The hague, 1976 ,  34-35.


Farid Sufian Shuaib, et.al, Administration of Islamic Law in Malaysia: text and material,  Malayan  Law  Journal,Kuala lumpur , 2001,  7

Wilkinson, RJ, Papers on Malay




Wednesday, 3 July 2013

Undang-undang Jenayah Islam

Teks: Jazilah Mohd Saad

Entri kali ini adalah berkisar mengenai undang-undang Jenayah menurut Islam. Sebenarnya entri ini disediakan hasil daripada analisis terhadap filem Semerah Padi dan kertas asal yang disediakan telah diedit dan disusun semula sesuai dengan penulisan blog.


Konsep Jenayah dan hukumannya dalam undang-undang Islam

Di dalam Islam terdapat tiga jenis jenayah dan hukumannya ialah hudud, qisas dan takzir. Hudud adalah kesalahan jenayah yang ditetapkan kadarnya oleh Hukum syarak, yang tidak ada minima dan maksimanya dan yang tidak boleh digugurkan sama sekali sama ada oleh individu atau pemerintah. Qisas juga ditetapkan kadarnya oleh Hukum Syarak tetapi boleh dimaafkan samada melalui bayaran diyat atau tanpa diyat sekalipun kes itu telah sampai ke mahkamah. Takzir pula adalah kesalahan jenayah yang tidak ditetapkan kadarnya oleh hukum syarak tetapi ditetapkan oleh kerajaan atau hakim mengikut budi bicaranya.
Di dalam pelaksanaan undang-undang Islam beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ialah berkenaan siasatan, pendakwaan dan hukuman. Setiap perkara ini perlu diberi perhatian agar hukuman yang dilaksanakan adalah secara adil disamping memberi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat.

Tatacara siasatan dan pembuktian

Konsep penyiasatan dalam Islam adalah sangat luas dan mencakupi pelbagai perkara samada urusan individu atau urusan berkumpulan. Tatacara penyiasatan akan bermula daripada maklumat awal yang dibuat oleh mana-mana orang (rujuk sekyen 54 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah Sarawak 2001). Siasatan diperlukan bagi mengetahui kebenaran sesuatu maklumat yang diberikan sebagaimana firman Allah dalam Surah al Hujurat ayat 6 yang bermaksud:
“wahai orang-orang yang beriman, jika seorang fasik datang menemui kamu membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya kerana dikhuatiri kamu mengenakan tindakan yang buruk terhadap sesuatu kaum dengan kejahilan dan menyebabkan kamu menyesal terhadap tindakan yang kamu lakukan. 
Siasatan boleh dilakukan sebelum tangkapan atau selepas tangkapan dibuat dan ia perlulah merangkumi semua perkara termasuklah berkenaan dengan saksi samada bayyinah atau syahadah. Dalam keadaan seseorang itu ditangkap, ia berhak dan perlu dibenarkan berunding dengan peguam atau mengadakan jaminan bagi pelepasannya. Peruntukan Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia membezakan di antara kesalahan boleh tangkap dan kesalahan tidak boleh tangkap. Justeru tatacara penyiasatan bagi kedua-dua kesalahan ini juga berbeza.

Pembuktian dalam hukum Islam

Di dalam perbicaraan penuh Kesalahan Jenayah Syariah, kewajipan pendakwa ialah membuktikan bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan seperti di dalam pertuduhan. Tertuduh juga dianggap tidak bersalah selagi ia tidak dibuktikan sebaliknya. Oleh itu tugas seorang Pendakwa Syarie adalah amat berat untuk membuktikan dan dapat menafikan kedudukan asal bahawa seseoarang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. 
Sebagaimana dijelaskan sebelum ini terdapat tiga jenis hukuman di dalam kesalahan jenayah syariah iaitu hudud, qisas dan takzir. Pembuktian dalam kes Kesalahan Jenayah ini berbeza mengikut jenis  kes. Hukuman hudud iaitu rejam dengan batu (bukan sula dengan lembing seperti di dalam filem Semerah Padi) dan juga sebatan umpamanya memerlukan pembuktian yang kukuh. Penzina yang dijumpai sudah berzina dan terkapar keletihan, tidak boleh dihukum had kerana saksi tidak nampak mereka berzina. Begitu juga dengan kesalahan membunuh tanpa adanya saksi yang menyaksikan jenayah tersebut berlaku. Justeru bukti sahaja tidak mencukupi dalam hukuman hudud. Bukti mesti disertai dengan saksi. Justeru, kedudukan saksi amat penting. Walaupun perempuan itu terbukti sudah mengandung hasil persetubuhan haram, hukuman hudud masih tidak boleh dilakukan. Ini tidak bermakna wanita itu terlepas daripada hukuman.  Wanita yang didapati berzina dan didapati bersalah dengan bukti-bukti yang mencukupi (tanpa saksi) mungkin perlu dihantar ke pusat perlindungan agar kebajikan diri dan anaknya terjaga. 
Begitu juga berkenaan pembuktian berkaitan kesalahan yang lain yang telah menetapkan garis panduan dan bilangan saksi yang diperlukan bersesuaian dengan jenis kesalahan yang dilakukan. Dalam keadaan lain niat juga perlu dibuktikan  samada wujudnya mensrea atau actusrea tertuduh dalam jenayah tersebut.
Pelaksanaan hukuman hudud bagi penzina yang muhsan di dalam filem tersebut  bukanlah  gambaran pelaksanaan hukuman hudud yang sebenar.  Hukuman had bagi penzina muhsan yang sebenarnya ialah rejam sampai mati dan bukan sula sebagaimana dalam filem tersebut.
Dalilnya sebagaimana hadis rasulullah saw. Yang bermaksud:
Dari Abu Huraira ra ia berkata, ada seorang laki-laki menghadap Rasulullah SAW di masjid lalu menyeru. Ya Rasulullah sesungguhnya  aku benar-benar telah berzina. Kemudian Rasulullah berpaling sehinggaa orang tersebut mengulangi Empat kali ia dipanggil oleh Rasulullah seraya berkata” apakah engkau menidap nyakit gila” ia menjawab tidak, nabi bertanya adakah engkau berzina muhsan? Ia menjawab  betul.lalu nabi SAW menyuruh para sahabat “bawalah dia lalu rejamlah”. Ibnu Shihab nerkata ada seorang yang mendengar daripada Jabir Bin Abdullah memberitahu bahawa jabir berkata”aku termasuk salah seorang yang merejamnya iaitu kami rejam dimusalla. Tetapi tatkala batu-batu lemparan itu melukainya ia lari lalu kami tangkap dia di Harrah, kemudian kami rejam sampai mati.
                                                            (Sahih al Bukhari )

Tuesday, 2 July 2013

pengenalan diri


Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum.

Teks: Jazilah Mohd Saad

 Entri pertama sekadar menghulurkan salam perkenalan kepada pembaca blog ini. Alhamdulillah syukur diberi kesempatan dan ruang untuk mewujudkan blog ini sebagai medium perkongsian berkenaan undang-undang syariah. Berkhidmat sebagai seorang pegawai syariah yang bertugas salah sebuah jabatan kerajaan.  Hampir 11 tahun berkecimpung dalam bidang perundangan islam. Memulakan perkhidmatan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, seterusnya di Jakim sebelum bertukar ke Jabatan bantuan Guaman Sarawak pada 2007. Mulai 2010 hingga  Oktober 2013 menyambung pengajian di UIA juga dalam bidang perundangan Islam. Berkelulusan ijazah sarjana muda dan sarjana juga dalam bidang syariah (perundangan Islam).
Minat untuk menulis dan berkongsi idea telah lama ada namun tidak digarap sepenuhnya. Insya Allah dengan wujudnya blog ini minat tersebut akan terus subur dan berkembang demi kemaslahatan umat. Semoga ianya menjadi saham akhirat buat saya sekiranya hasil penulisan di blog ini dapat dimanfaatkan oleh diri sendiri dan juga orang lain. Namun harus juga diperjelaskan di sini bahawa penulisan di blog ini adalah sekadar panduan dan pengenalan asas sahaja kerana bidang perundangan kadangkala terlalu kompleks dan memerlukan perbincangan lanjut. sekiranya ada pada mana-mana teks yang agak ringkas tapi memerlukan kepada penjelasan yang sewajarnya, maka rujukan dan teks yang lebih berautoriti hendaklah dirujuk.

Penulis boleh dihubungi melalui emel: jazilahsaad@yahoo.com