Kes Harta Sepencarian

Teks: Jazilah Mohd Saad

Bismillahirrahmanirrahim dan salam penuh kasih sayang.

Perkongsian hari ini adalah berkisar mengenai harta sepencarian. Secara lebih jelas saya bawakan sebuah kisah.
"Semalam Mak limah menerima perkhabaran bahawa Pak Abu telah berkahwin lain di sempadan. Sebenarnya Pak Abu pernah mengusulkan cadangan untuk berkahwin lagi satu kat Mak limah. Namun Mak Limah tidak bersetuju melihat kepada kemampuan kewangan Pak Abu. Apatah selama hampir 20 tahun hidup bersama Mak Limah yang banyak menyara kehidupan mereka.Setelah mendapat perkhabaran tersebut Mak Limah hilang pertimbangan dan memfailkan tuntutan perceraian. Akhirnya setelah didesak oleh Mak Limah, pak Abu bersetuju untuk bercerai. Selepas permohonan dibenarkan mak Limah mula risau mengenai harta-harta yang diperoleh bersama Pak Abu selama ini. Apatah lagi teman-teman rapat mula memberikan pendapat peribadi masing-masing. Hati mula tidak keruan. Mak Limah mula terfikirkan bagaimana kiranya tanah kebun yang dibeli bersama dengan Pak Abu yang masih didaftarkan nama Pak Abu diberikan kepada isteri baru. itu tidak termasuk wang simpanan bersama hasil perniagaan selama ini. Setelah membuat pertimbangkan yang wajar dan mendapatkan nasihat peguam syarie Mak Limah memfailkan permohonan untuk pembahagian harta sepencarian".

Kes sebegini adalah kes biasa yang ditemui semasa mengendalikan kes mahkamah syariah.

Harta sepencarian adalah sebahagian daripada tuntutan yang dibuat selepas berakhirnya sebuah perkahwinan.  Kebanyakan kes tuntutan harta sepencarian dibuat selepas perceraian berlaku. ia adalah antara tuntutan-tuntutan yang berbangkit yang dikemukakan selepas perceraian selain nafkah, hadanah dan mutaah.

Berdasarkan pengalaman peribadi mengendalikan kes harta sepencarian kebanyakan kes harta sepencarian agak sukar diselesaikan dengan baik dan memerlukan campur tangan mahkamah.

Merujuk kepada peruntukkan undang-undang berkaitan harta sepencarian, ia di peruntukkan di bawah peruntukkan seksyen seksyen 58 (Akta undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan). Di bawah peruntukkan seksyen tersebut undang-undang hanya memperuntukkan bahawa pembahagian harta sepencarian adalah dibenarkan semasa perceraian berlaku.

Seksyen 58(1) mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah penceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka di bahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil bahagian itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Dalam menentukan pembahagian harta sepencarian mahkamah akan mengambil perhatian tentang beberapa perkara iaitu:
a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja dalam memperoleh aset-aset itu.
b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
c) keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu.

Begitu juga sekiranya harta atau aset yang diperolehi adalah hasil usaha tunggal satu pihak, mahkamah boleh memerintahkan pembahagian berdasarkan pertimbangan di atas. Selain itu mahkamah juga boleh mengarahkan supaya harta tersebut dijual dan hasil jualan dibahagi mengikut kadar yang munasabah. Namun dalam sesetengah kes sekiranya usaha untuk memperoleh harta lebih besar daripada satu pihak, ia hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Sekadar perkongsian. Semoga ada manfaatnya.

Comments

Popular posts from this blog

Cerai luar mahkamah

Pegawai Syariah

Tahfiz Model Ulul Albab