Motivasi bekerja di luar rumah
Teks : Jazilah mohd saad
Bismillahirrahmanirrahim dan salam penuh ukhuwwah.
Alhamdulillah, hari ini adalah hari ketiga mulai bekerja semula di luar rumah dengan waktu kerja yang tetap. Minggu pertama seperti biasa adalah minggu untuk menyesuaikan diri dengan suasana kerja yang baru. Agak kekok pada awalnya memandangkan selama ini saya bekerja mengikut gaya sendiri dan secara berkala sahaja diselia oleh penyelia. Waktu kerja tetap seakan menyesakkan dada. Namun apakan daya itulah peluang untuk menjana ekonomi rumahtangga buat masa ini.
Sebagai seorang suri rumahtangga pastinya naluri hati untuk kembali bekerja di rumah wujud jauh di sudut hati. Keperluan kembali bekerja di rumah mungkin lebih mendesak apabila memikirkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan jagaan dan pemerhatian rapi ibu kandung. namun apakan daya tidak kesemua suri mampu merealisasikan hasrat tersebut.
Seorang suri yang bekerja di luar rumah pasti menghadapi pelbagai kesulitan dan rintangan dalam melaksanakan pekerjaan di luar rumah. Apatah lagi sekiranya tugas tersebut berkehendakkan suri bertugas di luar pejabat dan meninggalkan anak-anak serta suami dalam suatu tempoh masa yang ditetapkan. mungkin sesetengah orang melihat perkara tersebut sebagai tidak wajar. namun hakikatnya empunya diri sahaja yang mengetahui kewajaran atau tidak perkara tersebut berlaku. Justeru janganlah kita terlalu cepat membuat andaian kiranya perkara tersebut berlaku kepada sahabat-sahabat kita.
Dua tips mudah yang sentiasa saya amalkan menjadi motivasi kuat untuk bekerja.
Ikhlas dalam kerja.
Setiap pagi sebelum memulakan kerja atau bila-bila masa sahaja kita berpeluang renunglah ke dalam diri untuk menilai sejauhmana keikhlasan kita dalam bekerja. tanpa mengira apa jua jenis kerja, berapa jumlah pendapatan yang diperolehi dan di mana sahaja tempat bekerja keikhlasan perlu sentiasa bersama kita. bagaimana menghadirkan keikhlasan?. Tentunya keikhlasan akan hadir jika niat bekerja hanyalah semata-mata mendapatkan ganjaran daripadaNya. Insya Allah jika redhaNya yang dicari, ganjaran yang lain akan menyusul kemudiannya.
Menangani konflik tempat kerja.
Sebagai seorang yang bekerja dan mempunyai kakitangan bawahan, rakan sejawat dan penyelia atasan pastinya hendak atau tak kita akan berhadapan dengan pelbagai konflik. Seperti juga dalam perhubungan suami isteri, konflik adalah sesuatu yang pasti, namun bagaimana kita menangani konflik menjadi asas berjaya atau tidak sebuah perhubungan. Konflik di tempat kerja selalunya timbul apabila seseorang tidak berpuashati dengan seseorang yang lain. Rasa tidak puas hati sentiasa wujud. justeru jadilah rakan, penyelia dan anak buah yang bijak yang menyenangkan semua pihak. Bukan mudah menangani konflik. Namun komunikasi yang baik mampu menjadikan perhubungan lebik baik. banyakkan membaca dan sentiasa berbaik sangka dengan sesiapa sahaja.
Antara nasihat berguna yang saya peroleh untuk mengelak konflik adalah: apabila ada seseorang bekerja bersama kita, maka berilah kepercayaan dan keyakinan kepada mereka.Ini akan mendorong mereka membuat kerja dengan lebih baik dan apabila kita bekerja untuk seseorang, jalankan tugas dengan penuh jujur dan tanggungjawab bukan kerna ganjaran yang diperolehi tapi kerana ikhlan kepadaNYa.
Sekian, semoga ada manfaatnya.
Sekian, semoga ada manfaatnya.
Comments
Post a Comment